Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah mencadangkan supaya satu skim insurans berkelompok diwujudkan bagi melindungi keseluruhan 790 unit Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) yang dibangunkan di seluruh Pahang.
Baginda bertitah, cadangan berkenaan bertujuan memberi perlindungan kepada penerima rumah berkenaan, khususnya sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kebakaran.
“Kalau boleh, semua penghuni rumah Ru’RASA ini, 790 unit, kalau boleh buat satu insurans berkelompok supaya mereka ini dilindungi daripada rumah-rumah ini, kebakaran atau sebagainya.
“Kita kaji dari segi insurans supaya penghuni ini berasa lebih selesa,” baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, cadangan tersebut juga boleh diteliti sebagai salah satu bentuk perlindungan dan usaha tambahan bagi membantu keluarga penerima pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menekankan aspek kualiti pembinaan supaya rumah yang disediakan kepada rakyat tidak dibina secara sambil lewa walaupun kos pembinaannya rendah.
“Saya harap cuba percepatkan dan saya harap dalam soal pembinaan struktur rumah ini, walaupun harga itu nampak murah, tetapi janganlah beri hasil pembinaan ini secara sambil lewa saja. Saya nak ada kualiti sedikit.
“Jangan buat sambil lewa kerana saya anggap inilah syurga kepada satu-satu keluarga,” titah baginda.
Baginda turut menitahkan supaya penerima Ru’RASA sentiasa bersyukur kepada Allah SWT selain menghargai bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan.

Al-Sultan Abdullah pada masa sama mengingatkan penerima supaya tidak menjual atau menyewakan rumah berkenaan kerana ia disediakan khusus untuk membantu mereka mendapatkan kediaman yang selesa.
“Janganlah fikir nak jual, nak sewa. Sewa pun saya tak bagi. Ini khas untuk awak semua.
“Kalau ada, Allah dah panggil kita, tuan, anak cucu pula. Tak boleh dijual dan disewa,” titah baginda.
Pada majlis berkenaan, seramai 11 penerima menerima rumah Ru’RASA iaitu enam penerima dari Kuantan dan lima dari Jerantut.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta barisan ketua jabatan.
Hadir sama Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, His Excellency Dr. Mubarak Saeed AlDhaheri dan Senior Executive, Communication and Public Diplomacy, Mr. Idris Osman Ahmed. -PAHANGMEDIA

