KUANTAN, 4 NOVEMBER 2026 : Sebanyak lapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Bandar Paling Mampan 2026 sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan seluruh warga PBT dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran bandar yang mampan, selesa dan mesra rakyat.
“Lapan PBT yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Majlis Perbandaran Bentong, Majlis Perbandaran Pekan, Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Daerah Bera, Majlis Daerah Jerantut, Majlis Daerah Lipis, Majlis Daerah Raub dan Majlis Daerah Rompin.
“Selain itu, empat PBT iaitu Majlis Daerah Bera, Majlis Daerah Jerantut, Majlis Daerah Raub dan Majlis Daerah Rompin turut menerima pengiktirafan Bandar Pintar Perintis Tahap 1 (Smart City Early Adopter),” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada PLANMalaysia Pahang atas usaha serta komitmen dalam menyelaras perancangan pembangunan bandar dan membantu PBT mencapai pengiktirafan berkenaan.
Menurutnya, pembangunan sesebuah bandar bukan sekadar diukur berdasarkan kemajuan fizikal dan infrastruktur, sebaliknya turut dinilai melalui keupayaannya menyediakan kehidupan yang berkualiti, sejahtera dan lestari untuk generasi masa kini serta akan datang.
“Saya berharap pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih progresif, khususnya dalam menerapkan teknologi dan inovasi ke arah pembangunan bandar pintar yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
“Marilah kita terus berganding bahu membina bandar dan daerah yang lebih mampan, berdaya huni serta berdaya saing demi masa depan rakyat dan Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya. -PAHANGMEDIA

