Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Danial Adib Aiman
PEKAN, 4 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM20,000 bagi kerja-kerja baik pulih dan menaik taraf gelanggang petanque di FELDA Chini, sekali gus meningkatkan kemudahan sukan komuniti di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, peruntukan itu akan disalurkan dalam masa terdekat bagi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan, termasuk pemasangan lampu untuk meningkatkan aspek pencahayaan gelanggang.
Menurutnya, usaha itu diharap dapat menyemarakkan minat penduduk setempat terhadap sukan petanque, selain membuka ruang kepada lebih ramai bakat baharu untuk diketengahkan sehingga mampu mewakili negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan fasiliti gelanggang petanque di sini.
“Memang ramai peminat sukan petanque di FELDA Chini dan saya berharap peruntukan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mereka untuk terus aktif, selain mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan ini.
“Antara perkara yang boleh ditambah baik ialah aspek pencahayaan melalui pemasangan lampu supaya gelanggang ini dapat dimanfaatkan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Taman Rekreasi FELDA Chini, di sini, hari ini.
Dalam program sama, beliau turut mengadakan lawatan mengejut ke Menara Telekomunikasi Kampung Salong bagi meninjau aset, perkakasan dan kelengkapan komunikasi di lokasi berkenaan.
Lawatan itu turut memberi peluang kepada beliau menyampaikan pandangan serta teguran kepada pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi memastikan penduduk setempat menikmati kemudahan komunikasi yang lebih baik.
Selain itu, beliau turut menyertai aktiviti senamrobik dan berjalan pantas (brisk walk) bersama penduduk setempat sebagai sebahagian daripada pengisian program jelajah berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada Cik Zulaika Nur Al Dosya Abdullah, 18, yang bakal melanjutkan pengajian dalam Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban persiapan beliau bagi meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. -PAHANGMEDIA

