Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2026: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang mencipta lima kejayaan di peringkat kebangsaan menerusi Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.
Program bertemakan Sinergi MADANI – PBT Lestari, Persekitaran Harmoni” yang berlangsung pada 12 dan 13 September 2026 di Bertam Resort, Pulau Pinang menyaksikan lima PBT Pahang menerima pengiktirafan dalam beberapa kategori.
Pencapaian paling membanggakan apabila Majlis Perbandaran Pekan Diraja berjaya meraih Penarafan Lima Bintang sempena Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2026.

Pengiktirafan berprestij itu mencerminkan tahap kecemerlangan, keupayaan serta komitmen warga kerja PBT dalam memastikan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa berada pada tahap terbaik.
Dalam pada itu, empat lagi PBT Negeri Pahang turut melakar kejayaan sempena SHKPS Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.

Majlis Daerah Lipis (MDL) dinobatkan sebagai Johan Kategori Pasar Awam menerusi Pasar Awam Padang Tengku, manakala Majlis Daerah Maran (MDM) meraih Johan Kategori Tandas Awam menerusi Anjung Selera Taman Tasik Maran.
Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pula memperoleh tempat kedua bagi Kempen Pasar Malam Bersih menerusi Pasar Malam TMG Mall, Tanjung Lumpur.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) turut meraih tempat kedua bagi Kategori Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar menerusi Taman Tualang Indah.
Lima pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan PBT di Negeri Pahang bukan sahaja dalam aspek penyampaian perkhidmatan, malah usaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, memperkasa inovasi serta memastikan persekitaran yang bersih, selesa dan harmoni untuk rakyat. -PAHANGMEDIA

