Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 4 NOVEMBER 2026 : Pembinaan kolam takungan hiliran (ORS) bernilai RM33 juta di kawasan seluas 10 hektar di FELDA Chini dijangka mampu menjamin bekalan air kepada penduduk setempat sehingga 16 hari ketika musim kemarau.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan penduduk di kawasan itu mempunyai sumber bekalan air alternatif dan tidak berdepan gangguan bekalan ketika musim kering.
Menurut beliau, pembinaan kolam takungan berkenaan telah siap sepenuhnya dan kini hanya menunggu proses penyerahan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) selepas beberapa perkara kecil diselesaikan.
“Dah siap. Cuma nak serahkan kepada PAIP dan menyelesaikan beberapa perkara yang sangat minimum. Dijangka akhir tahun ini akan diserahkan.
“Ini merupakan usaha kerajaan dengan kos lebih kurang RM33 juta melibatkan kawasan seluas 10 hektar,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke kolam takungan berkenaan sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Chini, di sini hari ini.
Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Md Zain serta ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.

YAB Menteri Besar berkata, kewujudan kolam takungan itu akan memberi manfaat besar kepada penduduk FELDA Chini, khususnya sebagai sumber simpanan air bagi menghadapi situasi kemarau berpanjangan.
“Maknanya penduduk di sini tidak akan menghadapi masalah kekeringan air apabila berlaku musim kemarau dengan adanya kolam takungan air ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merasmikan Pusat Dialisis Mukim Chini yang diuruskan menerusi kerjasama Koperasi FELDA dan Gedung Penawar Sdn. Bhd. bagi menyediakan kemudahan rawatan hemodialisis lebih dekat kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, kemudahan itu membolehkan pesakit mendapatkan rawatan tiga kali seminggu tanpa perlu berulang-alik ke pusat dialisis yang lebih jauh.
“Itu hemodialisis yang diuruskan oleh Koperasi FELDA dan Gedung Penawar Sdn. Bhd. yang boleh membantu masyarakat setempat supaya mereka tidak perlu pergi jauh.
“Mereka boleh menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu di tempat itu. Ini satu usaha yang sangat baik oleh Koperasi FELDA,” katanya.
Pusat dialisis berkenaan difahamkan mampu menampung sehingga 16 pesakit bagi setiap sesi rawatan yang mengambil masa kira-kira empat jam.
Terdahulu, beliau turut menghadiri Kenduri Sekampung dan Sukan Rakyat bersama penduduk setempat di Padang Awam FELDA Chini 5 selain melepaskan Konvoi Klinik Bergerak Negeri Pahang bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih dekat kepada rakyat, khususnya penduduk di kawasan pedalaman.-PAHANGMEDIA

