Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 4 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan segera sebanyak RM30,000 bagi kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di Felda Chini 5, di sini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu diluluskan serta-merta selepas menerima permohonan pihak pengurusan tanah rancangan berkenaan sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, hari ini.

Menurut beliau, peruntukan berkenaan akan disalurkan kepada pihak Felda bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih kemudahan seperti padang, parit dan sistem perpaipan dilaksanakan.
“RM30,000 tadi saya berikan kepada Felda Chini 5 untuk membaiki infrastruktur termasuk padang, parit, paip dan sebagainya.
“Permohonan dikemukakan kepada saya dan telah diluluskan serta-merta,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kenduri Rakyat dan Sukan Rakyat Felda Chini di Padang Awam Felda Chini 5, di sini.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Md Zain serta ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Program yang memasuki penganjuran kali keempat itu menghimpunkan kira-kira 1,500 penduduk dari Gugusan Felda Chini dan kampung-kampung sekitar bagi memeriahkan acara tahunan berkenaan.
Dalam pada itu, YAB Menteri Besar turut meluangkan masa menyertai pertandingan boling kelapa bersama-sama barisan pimpinan dan penduduk setempat.

Beliau berkata, program turun padang itu merupakan sebahagian daripada pendekatan Kerajaan Negeri untuk mendekati rakyat selepas mengadakan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
“Hari ini saya mengadakan mesyuarat Exco di Felda Chini dan seperti biasa, selepas mesyuarat, saya bersama rakan-rakan Exco akan turun padang menemui rakyat.
“Saya turut menyertai Sukan Rakyat Felda Chini yang diadakan setiap tahun. Daripada 10 botol, saya berjaya menjatuhkan lima botol dalam pertandingan boling nyior tadi,” katanya.-PAHANGMEDIA

