Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 15 SEPTEMBER 2026 : Saiz daerah bukan penghalang untuk mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan apabila Pasar Awam Padang Tengku di bawah kendalian Majlis Daerah Lipis (MDL) muncul juara Kempen Pasar Awam Bersih 2026.
Lebih membanggakan, kejayaan itu menyaksikan MDL mengenepikan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di bandar besar iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah yang menduduki tempat kedua dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang di tempat ketiga.
Pengiktirafan tersebut diumumkan sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 dalam satu majlis di Bertam Resort, Pulau Pinang, pagi kelmarin.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, merakamkan ucapan tahniah kepada MDL atas kejayaan tersebut.
Katanya dalam satu kenyataan, pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen dan kerjasama berterusan MDL, pengurusan serta para peniaga dalam memastikan pasar awam sentiasa berada dalam keadaan bersih, ceria, selamat dan kondusif.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa kebersihan, kesihatan persekitaran dan kualiti perkhidmatan awam bukan sahaja di Lipis tetapi di seluruh Pahang,” katanya.
Kejayaan Pasar Awam Padang Tengku turut menjadi satu pengiktirafan penting terhadap usaha PBT di negeri ini dalam memperkukuh aspek kesihatan persekitaran dan penyediaan kemudahan awam yang lebih selesa kepada masyarakat.
Ia sekali gus mengangkat imej Kuala Lipis di persada nasional menerusi pencapaian sebuah pasar awam yang menjadi tumpuan masyarakat setempat.
Pencapaian itu juga diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berterusan bagi memastikan konsep ‘Pasar Bersih, Peniaga Ceria, Komuniti Sejahtera’ bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui amalan dan budaya seharian.-PAHANGMEDIA

