Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 FEBRUARI 2024 : Sebanyak 1,200 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di perairan negara telah direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada tahun lepas dengan melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM101.9 juta.
Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, ia hasil daripada lebih 181,000 pemeriksaan dan 43,000 penggeledahan dalam operasi yang dijalankan pihak APMM.
“…ini melibatkan semua akta di laut di kawasan perairan negara pada tahun lalu sahaja. Manakala nilai rampasan yang berjaya dikutip sepanjang tahun lepas iaitu kira-kira RM101.9 juta.
“Bagi tahun ini, saya boleh katakan berterusan. Hari-hari ada tangkapan melibatkan macam-macam isu di laut ini disebabkan mereka melakukan jenayah rentas sempadan, jenayah di laut, APMM akan melaksanakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang negara.
“Ia melibatkan akta-akta imigresen seperti pendatang asing tanpa izin, dan ia merupakan salah satu objektif APMM dalam mengekang kemasukan warga asing tanpa izin melalui laut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-19 (HUT19) Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB. Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, TYT Dato Mahmud Saidin; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Dato’ Haji Abdul Halim Haji Abdul Rahman; dan Timbalan Ketua Polis Negara, YDH. Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas berkenaan kes kecurian bangkai kapal, beliau menegaskan APMM melakukan rondaan khususnya di perairan Pahang dan Terengganu bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku.
“Kita akan mendakwa di mahkamah jika mereka melanggar peraturan namun buat masa sekarang mereka tidak masuk dalam perairan kita. Kalau dia (kapal penceroboh) masuk, saya tunggu.
“Terutamanya di perairan Pahang dan Terengganu, memang kita ada aset setiap masa untuk mengawal dan meronda. Kita ada 10 ke 12 kapal di laut kerana keberadaan kita kena ada di laut bagi mengelak mereka masuk secara curi-curi.
“Dan saya boleh jamin yang kes seperti sebelum ini (kecurian bangkai kapal di perairan Malaysia) tidak akan berlaku lagi dengan rondaan yang ada. Kalau mereka nak datang, kita akan tunggu mereka,” katanya.
Mengulas mengenai aset baharu APMM, beliau berkata proses penyerahan kapal peronda pesisir (OPV) kedua dan ketiga dijangka dapat diselesaikan pada tahun hadapan.
“Saya dimaklumkan semalam, sekarang ini dalam proses peringkat Jemaah Menteri dan kita akan menerima OPV2 dan OPV3 dan proses sedang dilaksanakan di peringkat dasar.
“Saya jangkakan ia dapat diselesaikan dalam tempoh setahun kerana semua peralatan sudah ada, cuma dari segi dasar sahaja lagi.
“Penempatan aset juga kita akan kaji, buat masa sekarang kita dah ada sebuah (OPV1) di Sarawak, dan kita akan kaji balik keperluan semasa dan kite melihat kepada Laut China Selatan kerana perairan kita jauh dan OPV ini kita boleh bawa helikopter untuk mengawal 200 batu nautika perairan kita,” katanya. -PAHANGMEDIA

