Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
BERA, 15 FEBRUARI 2024 : Program Berkhatan Anak Pahang tidak hanya melibatkan kanak-kanak lelaki Islam sahaja malah ia turut terbuka kepada bangsa lain yang mahu menyertainya.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, program yang mendapat peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kerajaan Negeri ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.
“Hari ini seramai 316 orang kanak-kanak lelaki menyertai Program Berkhatan Anak Pahang peringkat Daerah Bera dan daripada jumlah itu kita turut menerima penyertaan kanak-kanak Orang Asli (bukan Islam).

“Kita buka penyertaan kepada semua kaum tidak kira Melayu, Cina, India atau Orang Asli kerana tujuan utama adalah untuk meringankan beban rakyat terutamanya golongan B40 dari segi perbelanjaan untuk khatan anak masing-masing,” katanya ketika ditemui Pahang Media selepas merasmikan Majlis Berkhatan Anak Pahang peringkat Daerah Bera di Masjid Darul Fikri, di sini.
Hadir sama Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Azman Azam Mohamat Sarif@Ahmat, ADUN Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin serta Kadi Daerah Bera, Ustaz Mohd Azizi Abdul Aziz.
Dalam pada itu beliau berkata, program berkhatan yang dianjurkan menekankan aspek keselamatan, keselesaan dan segala keperluan berkaitan termasuk penyediaan pasukan perubatan yang tidak boleh diambil ringan.

“Ia dilakukan secara berperingkat di mana kita berharap agar usaha ini dapat sedikit sebanyak ringankan beban rakyat. Kita tahu kos untuk perkhidmatan berkhatan di klinik-klinik swasta agak tinggi iaitu lebih kurang RM150.
“Jadi dengan adanya pembiayaan daripada Kerajaan Negeri Pahang ini, saya harap beban ibu bapa lebih ringan dari segi perbelanjaan untuk berkhatan ini,” katanya.
Sementara itu , Dato’ Sabariah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Karnival Makmur berharap agar penganjuran Karnival Makmur di daerah Maran yang berlangsung esok sehingga Ahad mendapat sambutan daripada orang ramai.
“Saya harap orang ramai dapat datang untuk melihat sendiri kelebihan dan keistinewaan yang disediakan di tapak karnival iaitu Dataran Indera Pahlawan Chenor, Maran seperti penglibatan usahawan-usahawan kecil dan sederhana yang menjual produk tempatan masing-masing.
“Untuk makluman juga, tiada karnival yang akan berlangsung pada bulan hadapan bagi menghormati bulan Ramadan dan ia hanya akan diisambung selepas sambutan hari raya,” katanya. -PAHANGMEDIA

