Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SHAH ALAM, 23 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyampaikan Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji Kluster Anak Perantauan Pahang buat julung kalinya kepada 144 melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM496,100.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, insentif kewangan kepada perantau ini merupakan sebahagian bantuan termasuklah melibatkan 1,712 jemaah haji Pahang di Kuantan awal bulan lalu.

“Meraikan jemaah haji daripada Pahang, anak Pahang yang berada di perantauan, seramai 144 orang. Di mana dalam majlis hari ini, Kerajaan Negeri berkesempatan menyampaikan bantuan RM750 seorang, kemudian retort dan juga buku-buku himpunan doa yang boleh mereka bawa semasa pergi ke Tanah Suci nanti.
“Dulu bermula pada tahun 2013, kita cuma bagi duit poket ini RM500, kemudian kita panjangkan RM750. Dan pada tahun ini, ada tambah baik iaitu anak rantau Pahang yang berada di luar Pahang menunaikan haji. Kita pun tidak tinggalkan mereka, mereka menentukan di mana kita berada pada hari ini.
“Ini julung-julung kali kita adakan (Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji Kluster Anak Perantauan Pahang), dalam RM3.2 juta yang melibatkan 1,712 orang baru ini di Kuantan, dan hari ini ada 144 (penerima), lebih kurang RM3 juta lebih implikasi kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji Kluster Anak Perantauan Pahang Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.
Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, dan Pegawai Sekretariat Perantau Anak Pahang, Encik Syed Anas Dato’ Sri Syed Ali.
Tambah beliau, penyaluran bantuan kewangan ini membuktikan keperihatinan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan Islam di Pahang khususnya.

“Sebenarnya, kita nak menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang ini, kita sangat prihatin terhadap pembangunan Islam. Sebab dalam masa yang sama, dari segi politiknya, kita dikatakan bahawa Pahang ini tidak islamik.
“Jadi, angka tidak pernah berbohong dan setiap tahun, berlaku peningkatan yang kita peruntukan. Sebagai contohnya, tahun ini RM200 juta lebih. Di mana duit ini kita salurkan? Antaranya, di mana program pada hari ini dan dalam masa yang sama, kita buat program-program lain, sekolah agama, anak-anak yang berkhatan, kahwin kali pertama, tahfiz, masjid, kita bagi RM10,000.
“Surau yang boleh menunaikan solat Jumaat, kita bagi, terlibat juga, dan banyak lagi. Dan usaha-usaha ini, kita akan pertingkatkan lagi daripada semasa ke semasa,” katanya. -PAHANGMEDIA

