Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
BERA, 15 FEBRUARI 2024 : Program Berkhatan Anak Pahang melibatkan 316 orang kanak-kanak di daerah ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Seorang ibu dari Bandar Kerayong, Puan Noor Fadhilah Samat, 45, berkata, inisiatif Kerajaan Negeri ini amat dihargai dan diterima penuh rasa syukur.

“Hari ini saya bawa anak sulung berusia 10 tahun untuk berkhatan secara percuma melalui program ini.
“Terima kasih banyak-banyak Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang kerana membantu ringankan beban rakyat. Memang amat kami hargai dan berterima kasih di atas inisiatif ini,” katanya.
Peneroka dari Felda Purun, Encik Isa Awang, 70, berkata, program ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan sekeluarga.

“Saya merupakan seorang peneroka dan hari ini datang bersama isteri Hayati Samad, 46, bawa anak kami yang berusia 10 tahun berkhatan di program ini.
“Terima kasih MB Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang kerana sering memikirkan cara untuk membantu rakyat terutamanya golongan yang memerlukan,” katanya.
Bagi seorang ibu dari masyarakat Orang Asli Pos Iskandar, Puan Baizarina Baharin, 38, inisiatif Kerajaan Negeri ini amat dihargai kerana turut memberi peluang kepada mereka yang bukan Islam turut berkhatan dalam program ini.

“Hari ini saya dapat bawa anak berkhatan beramai-ramai dan sememangnya amalan berkhatan adalah wajib bagi kami Kaum Semelai.
“Terima kasih banyak-banyak Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang kerana membantu ringankan beban kami. Memang amat kami hargai dan berterima kasih di atas inisiatif ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

