Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 23 APRIL 2026 : Program Jom Baca Bersama 10 Minit anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) merupakan usaha menyemarakkan budaya membaca dalam masyarakat.
Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Encik Yusof Kassim, program ini bertujuan memperkukuh amalan membaca serta menjadikan perpustakaan sebagai institusi pendidikan selepas waktu persekolahan.

“Program ini sebagai usaha ke arah membudayakan inisiatif membaca dengan tujuan menjadikan perpustakaan sebuah organisasi yang relevan dalam pendidikan selepas waktu persekolahan.
“Selain itu, ianya dapat melahirkan masyarakat generasi muda yang mencintai ilmu, berakhlak mulia, mentaati agama dan berkemahiran yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Jom Baca Bersama 10 minit di SMK Bukit Sagu, hari ini.

Tambahnya usaha memperkasakan amalan membaca dalam kalangan pelajar boleh dipertingkatkan melalui pelaksanaan program seperti Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) di peringkat Kerajaan Negeri dan sekolah.
“Bagi meningkatkan lagi amalan membaca dalam kalangan pelajar ini, kita mungkin diperingkat Kerajaan Negeri atau di peringkat sekolah kita ada program Nilai dan di sini kita perlu menguar-uarkan lagi supaya pelajar mempunyai target berapa banyak buku yang perlu mereka baca.
“Jadi apabila mereka capai target tersebut kita akan bagi sedikit saguhati atau hadiah yang menarik. Pendekatan ini mampu menarik minat mereka untuk terus membaca,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar pelajar sekolah dapat dibentuk selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 ke arah melahirkan insan sejahtera.
“Dalam sudut harapan kepada pelajar sekolah adalah seperti yang digalakkan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia iaitu untuk melahirkan insan sejahtera.
“Kita mahu melahirkan murid yang beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan, dan semua ini tidak dapat dicapai tanpa amalan membaca.
“Jadi untuk itu kita harap hasrat untuk melahirkan negara yang sejahtera tercapai dengan murid-murid yang rajin membaca,” katanya. -PAHANGMEDIA

