Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 MEI 2026 : Negeri Pahang sekali lagi membuktikan kekuatan sebagai antara destinasi pelancongan utama negara dengan merekodkan kadar purata tempoh penginapan tertinggi di Malaysia tiga tahun berturut-turut.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, dengan khazanah yang kaya dan alam semula jadi yang indah, baginda mahu Pahang meneruskan rekod kehadiran pelancong yang cemerlang.
“Usaha merancakkan sektor pelancongan sempena Visit Malaysia Year 2026 memerlukan perancangan strategik yang lebih teliti dan berpandangan jauh.
“Sasaran pelancong dari luar negara serta hasil negeri perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor luaran yang boleh memberikan kesan kepada industri pelancongan. Prasarana dan kemudahan destinasi pelancongan juga perlu ditambah baik bagi menarik pelancong antarabangsa.
“Jangan sekadar bergantung harap pada Genting Highlands dan Cameron Highlands saja. Kita ada pelbagai destinasi menarik,” titah baginda.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut meminta Exco Pelancongan, Tourism Pahang dan semua pemain industri pelancongan perlu bersifat proaktif dalam merancakkan industri pelancongan di negeri ini.
“Saya mahu Yang Berhormat Exco Pelancongan, Tourism Pahang, dan semua yang berkaitan mesti proaktif. Tengok Cerating, apa yang perlu dibuat. Kalau dulu Cerating antara tempat tumpuan dunia, kenapa sekarang macam dilupakan? Justeru buat kerja, lipat gandakan usaha. Usaha sekarang ada, tapi masih belum mencukupi,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

