Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian sektor pendidikan negeri ini selepas Pahang muncul sebagai negeri kedua terbaik di peringkat nasional dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.08.
Baginda bertitah, kejayaan tersebut membuktikan usaha berterusan Kerajaan Negeri bersama agensi pendidikan dalam memperkasa pembangunan modal insan anak Pahang berada di landasan tepat.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas pelbagai inisiatif dilakukan demi meningkatkan pendidikan negeri ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya zahirkan kepada kerajaan saya di bawah pimpinan orang tua saya, YAB. Menteri Besar Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Yayasan Pahang serta semua pihak yang terus berusaha memperkasakan sektor pendidikan termasuk melalui pelbagai inisiatif yang memberikan sokongan menyeluruh kepada anak-anak Pahang. Alhamdulillah.
“Saya begitu bangga apabila negeri kita berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam SPM 2025 baru-baru ini,” titah Baginda ketika berkenan berangkat bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Negeri Pahang, di sini hari ini.
Titah Baginda lagi, kecemerlangan pendidikan Pahang turut terserlah apabila Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang berjaya menduduki tempat pertama peringkat nasional manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang terus mengekalkan prestasi cemerlang apabila berada pada kedudukan keempat terbaik negara.
“Tahniah, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan. Kekalkan momentum ini,” titah Baginda. -PAHANGMEDIA

