Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 NOVEMBER 2026 : Bonda kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, meninggal dunia hari ini.
Pemergian Allahyarhamah dikongsikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu menerusi satu hantaran di media sosial beliau yang menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan insan tersayang.
Menerusi hantaran berkenaan, beliau turut merakamkan penghargaan atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa yang dicurahkan Allahyarhamah sepanjang hayatnya.
Beliau menyifatkan segala jasa dan pengorbanan bondanya sebagai sesuatu yang tidak mungkin terbalas, malah Allahyarhamah akan terus hidup dalam doa serta ingatannya sepanjang hayat.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan pemergian bonda tercinta, Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah.
“Terima kasih, bonda atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa sepanjang hayatmu. Tiada apa yang mampu membalas segala jasamu.
“Bonda tetap hidup dalam doa dan ingatan anakanda selamanya. Al-Fatihah,” luah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan penghuni syurga Firdaus.
Terdahulu, beliau yang juga anak sulung Allahyarhamah berkongsi perkembangan kesihatan bondanya yang sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Gleneagles Ampang. -PAHANGMEDIA

