Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 5 NOVEMBER 2026 : Sesi Townhall Kembara Muafakat FELDA menjadi platform berkesan bagi memberi ruang kepada masyarakat FELDA mengemukakan permasalahan setempat secara terus kepada agensi berkaitan untuk mendapatkan penjelasan dan tindakan sewajarnya.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam, Encik Mohd Azren Shaharudin berkata, pendekatan berkenaan membolehkan pelbagai isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat seperti tanaman semula, gangguan haiwan liar serta kemudahan infrastruktur diketengahkan secara terbuka.
“Saya nampak respon sangat baik daripada masyarakat, macam-macam soalan yang dibawa dan ditimbulkan, cuma jangka masa yang ada sebenarnya agak terhad.
“Insya-Allah pada masa akan datang mungkin kita boleh beri ruang yang secukupnya dan saya menggalakkan program-program seperti ini diteruskan dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas sesi Townhall Kembara Muafakat FELDA di Padang Awam Majlis Daerah Rompin, Keratong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu yang dibangkitkan masyarakat pada sesi berkenaan bukan perkara baharu dan kebanyakannya mempunyai persamaan dengan permasalahan yang dihadapi komuniti FELDA di lokasi lain.
“Saya yakin pihak FELDA Wilayah dan FELDA Ibu Pejabat sudah melihat persoalan yang dibawa ini dan kebanyakan isu tidak lari daripada isu yang sama di tempat-tempat lain.
“Insya-Allah pihak FELDA saya yakin akan memberikan perhatian yang sebaiknya terhadap sebarang isu yang ditimbulkan,” katanya.
Menurutnya, Kembara Muafakat FELDA kini sudah dilaksanakan di 14 lokasi daripada keseluruhan 27 lokasi yang dirancang dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai penempatan FELDA.

“Kalau ikut DUN, kita ada 42 DUN tetapi tidak semua DUN mempunyai kawasan FELDA. Jadi kita pergi ke DUN-DUN yang ada kawasan FELDA,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap penglibatan agensi setempat dapat dipertingkatkan dalam sesi townhall akan datang supaya setiap persoalan masyarakat dapat dijawab secara langsung oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa berkaitan.
“Untuk sesi townhall yang berikutnya, saya berharap kita dapat libatkan lebih ramai lagi agensi dan penglibatan secara aktif oleh agensi-agensi setempat.
“Hari ini kita ada lapan agensi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), PAIP, bomba, FELDA Wilayah, Jabatan Veterinar, UPORT, Sekretariat Muafakat FELDA dan LPHP,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran lebih banyak agensi berkaitan secara langsung di lapangan mampu memperkukuh fungsi townhall sebagai ruang penyelesaian isu masyarakat, selain memastikan setiap permasalahan mendapat perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab. -PAHANGMEDIA

