Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 5 NOVEMBER 2026 : Lawatan teknikal bersama agensi kerajaan diadakan bagi memastikan segala kemudahan dan perkhidmatan sepanjang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 berada pada tahap optimum, sekali gus menjamin kelancaran persidangan yang dijadual berlangsung pada November ini.
Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen berkata, maklum balas dan pandangan yang diterima akan dikumpulkan serta diselaraskan bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti keperluan dan ruang penambahbaikan, khususnya dalam memastikan keselesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepanjang persidangan.
“Seperti biasa, kita akan mengadakan lawatan teknikal sebelum sidang dewan berlangsung bagi memastikan persidangan berjalan lancar.

“Kita juga mendapatkan maklum balas daripada wakil rakyat yang bersidang pada Ogos lalu, termasuk pandangan dan komen mengenai perkara yang boleh ditambah baik dari segi perkhidmatan serta keselesaan.
“Jadi, kita kumpulkan semua pandangan tersebut dan maklumkan kepada agensi kerajaan berkaitan supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan teknikal bersama agensi kerajaan di Dewan Negeri Pahang, Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Menurut beliau, taklimat turut diberikan kepada semua agensi terlibat bagi memastikan penyelarasan dengan urus setia Dewan Negeri berjalan lancar, sekali gus mengelakkan sebarang masalah sepanjang persidangan berlangsung.
Dalam pada itu, beliau berharap semua ADUN dapat mengambil bahagian secara aktif dalam persidangan menerusi perbahasan yang matang serta mengemukakan pandangan secara telus dan konstruktif demi kepentingan pembangunan negeri.
“Saya berharap semua ADUN dapat mengambil bahagian dan berbahas dengan baik serta memberikan pandangan yang lebih telus dan berkesan kepada kerajaan negeri supaya kita bersama-sama dapat menaikkan nama Pahang di Malaysia,” katanya. -PAHANGMEDIA

