Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 5 NOVEMBER 2026 : Bukan sekadar karnival hiburan, Karnival SEMARAK Bukit Ibam 2026 yang berlangsung pada 5 hingga 8 November ini tampil dengan konsep menggabungkan elemen kerajaan negeri, badan beruniform dan masyarakat dalam satu platform.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam, Encik Mohd Azren Shaharudin berkata, konsep SEMARAK yang membawa maksud Sedia Bersama Masyarakat dan Setia Bersama Rakyat itu dirangka untuk mewujudkan ruang interaksi secara lebih santai antara kerajaan, badan beruniform dan komuniti setempat.
“SEMARAK ini sebenarnya ada dua tagline utama, yang pertama SEMARAK ialah singkatan kepada Sedia Bersama Masyarakat dan yang kedua Setia Bersama Rakyat.
“Kita gabungkan dua elemen iaitu kerajaan negeri termasuk saya sebagai penyelaras DUN Bukit Ibam dan badan beruniform, yang kali ini kita dapat kerjasama daripada pihak Panglima 4 Briged Mekanis Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Townhall Kembara Muafakat FELDA di Padang Awam Majlis Daerah Rompin, Keratong, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penglibatan ATM pada edisi kali ini memberi kelainan apabila masyarakat berpeluang melihat dengan lebih dekat aset dan keupayaan pasukan keselamatan menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan.
“Dua elemen ini kita gabungkan dalam satu karnival supaya dapat memberikan pendedahan kepada rakyat apa yang kerajaan negeri boleh buat dan apa yang kerajaan negeri telah buat, selain apa yang boleh ditunjukkan oleh badan beruniform,” katanya.
Antara tarikan utama ialah pameran dan demonstrasi melibatkan ATM termasuk peluang orang ramai melihat dengan lebih dekat kereta kebal, selain persembahan pancaragam serta demonstrasi letupan.
“Kita dapat kerjasama yang baik daripada pihak ATM Panglima 4 Briged Mekanis yang akan membawa kereta kebal, satu aset yang bernilai oleh pihak ATM.
“Orang ramai boleh hadir melihat sendiri kereta kebal itu dan difahamkan akan dibenarkan masuk untuk melihat keadaannya dengan lebih dekat,” katanya.
Tidak terhad kepada pameran aset keselamatan, beliau berkata Karnival SEMARAK yang berlangsung selama empat hari tiga malam itu turut menggabungkan elemen komuniti, sukan, hiburan, keagamaan dan ekspo bagi memastikan pengisiannya sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya jemput seluruh masyarakat, khususnya yang berada di DUN Bukit Ibam, untuk sama-sama datang pada 5, 6, 7 dan 8 November ke Karnival SEMARAK ini.
“Kita harap masyarakat dapat hadir dan menikmati sendiri pelbagai aktiviti yang telah kita sediakan,” katanya. -PAHANGMEDIA

