Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan Kerajaan Persekutuan yang tidak mengambil kira kepentingan Kerajaan Negeri.
Tengku Mahkota Pahang bertitah bahawa Kerajaan Persekutuan juga dilihat mencampuri urusan Kerajaan Negeri dalam menambah hasil negeri termasuk hasil daripada eksport pasir sungai di negeri ini.
“Saya begitu kecewa apabila Kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha Negeri Pahang untuk menambahkan hasil negeri seperti eksport pasir sungai memandangkan Negeri Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia yang sudah tentu banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku seterusnya mengelakkan banjir.
“Sebelum ini kita dapat menambahkan hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya, Kerajaan Pusat tidak lagi membenarkannya sekarang ini sedangkan hasil tanah dan pasir ini merupakan hak negeri,” titah baginda.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menekankan bahawa negeri ini merupakan negeri berdaulat yang tidak memerlukan campur tangan dari negeri lain dalam urusan perundangan.
“Sebarang salah laku yang berlaku di Negeri Pahang perlu diadili di mahkamah secara adil dan saksama. Tidak perlu campur tangan daripada mana-mana pihak untuk menegakkan perkara yang tidak betul,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

