Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Sebanyak RM57.63 juta diperuntukkan bagi menaik taraf 139 fasiliti kesihatan di seluruh Pahang sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sekali gus memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, Kerajaan Negeri turut memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan menerusi pembangunan fasiliti baharu serta penyediaan perkhidmatan perubatan bergerak.
Menurutnya, Pahang mempunyai 12 hospital, 85 klinik kesihatan, 230 klinik desa, tiga klinik kesihatan ibu dan anak secara berasingan, sembilan klinik komuniti, 77 klinik pergigian serta lima unit dialisis komuniti.
“Dengan adanya jaringan fasiliti ini, penyampaian perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kepada penduduk kawasan bandar mahupun luar bandar dapat diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Bagi mengatasi cabaran geografi di kawasan pedalaman dan penempatan Orang Asli, kerajaan menyediakan sembilan pasukan perubatan bergerak khusus untuk komuniti berkenaan, selain 46 pasukan pergigian bergerak ke sekolah serta empat pasukan pergigian bergerak mengikut zon strategik.
Usaha itu turut disokong menerusi program jangkauan kesihatan yang merangkumi saringan, pendidikan kesihatan dan rawatan susulan bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman tidak tercicir daripada menerima perkhidmatan kesihatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Klinik Kesihatan Sungai Soi di Kuantan mula beroperasi tahun ini, manakala Klinik Kesihatan MK Ibam di Rompin dijangka beroperasi pada awal tahun depan, tertakluk kepada proses penyerahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pahang turut menerima kelulusan bagi tiga projek kesihatan baharu, iaitu Klinik Kesihatan Kuala Krau di Temerloh yang sedang dalam pembinaan, Klinik Kesihatan Kuala Tahan di Jerantut yang berada pada peringkat reka bentuk dan Klinik Kesihatan Pelangai di Lipis yang berada pada peringkat pengesahan skop projek.
Menjawab soalan tambahan mengenai peluasan unit dialisis komuniti, beliau berkata, kerajaan belum mempunyai perancangan untuk menambah unit berkenaan buat masa ini, sebaliknya pelaksanaannya bergantung kepada keperluan pesakit di sesuatu lokaliti.
Lima unit dialisis komuniti sedia ada beroperasi di Klinik Kesihatan Sungai Lembing, FELDA Chemomoi, Maran, Sungai Koyan dan Bentong, manakala KKM turut memberi tumpuan kepada rawatan dialisis peritoneal (PD) yang membolehkan pesakit menjalani rawatan di rumah.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan ADUN Cheka mengenai keperluan ambulans di Merapoh, Lipis, beliau berkata, perkara berkenaan akan dimasukkan dalam senarai keperluan susulan jangkaan penerimaan ambulans tambahan bagi Pahang pada tahun depan. -PAHANGMEDIA

