Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Pahang terus memperkukuh pembangunan pendidikan agama di negeri ini menerusi pelbagai peruntukan bagi meningkatkan kemudahan sekolah agama, menjaga kebajikan guru serta memperluas peluang pendidikan kepada pelajar.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan RM13 juta bagi pembinaan asrama puteri Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan bagi menyediakan kemudahan lebih selesa kepada pelajar.
Menurutnya, beberapa projek pembangunan infrastruktur sekolah agama turut dilaksanakan termasuk pembinaan asrama Sekolah Menengah Agama Chenor bernilai RM11 juta yang dijangka siap pada 2027, selain dewan makan Sekolah Menengah Agama Guai bernilai RM3 juta yang turut dijangka siap pada tahun sama.
“Begitu juga di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku telah dibinakan bangunan kelas dengan kos RM6 juta yang dijangkakan siap pada 2028. Dewan Sekolah Menengah Agama Padang Tengku dengan kos RM3 juta yang dijangka siap pada 2027. Manakala Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar juga bakal dibina asrama masih dalam tindakan pihak Jabatan Kerja Raya dengan kos RM8 juta,” katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas cadangan pembinaan lebih banyak sekolah menengah agama, beliau berkata, Pahang ketika ini mempunyai 19 sekolah agama dan isu kekurangan tempat perlu dilihat berdasarkan corak permohonan serta kecenderungan pelajar memilih sekolah tertentu.
Katanya, terdapat sekolah seperti Sekolah Menengah Agama Bukit Ibam dan Sekolah Menengah Agama Batu Talam yang kurang mendapat sambutan kerana kebanyakan pemohon lebih tertumpu kepada Sekolah Menengah Agama Al-Khairiyah dan Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut berjaya memperoleh pengiktirafan enam sekolah menengah agama bantuan kerajaan, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelajar untuk mengikuti pendidikan agama dengan kurikulum dan tenaga pengajar terlatih.
Menyentuh kebajikan guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), beliau berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan tambahan sebanyak RM31 juta bagi meningkatkan elaun guru berkenaan sebanyak RM100 seorang seperti diumumkan YAB Menteri Besar Pahang baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan seramai 41 guru sekolah agama telah ditawarkan jawatan tetap di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Pahang, manakala 33 lagi belum dapat diserapkan kerana tidak memiliki kelayakan diploma atau ijazah.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut meluaskan tawaran bagi 16 jawatan guru sekolah agama pada 16 November lalu.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.4 juta kepada maahad tahfiz dan pondok persendirian, selain bantuan Inisiatif Makmur Pahang sebanyak RM2,000 kepada setiap 179 maahad tahfiz bagi memperkukuh institusi pendidikan Islam berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata, dalam Belanjawan Negeri Pahang 2027, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM18.99 juta bagi hal ehwal Orang Asli, RM19.06 juta bagi pembangunan luar bandar serta RM360 juta bagi hal ehwal agama Islam, dengan pelaksanaan program dan bantuan diselaraskan bersama agensi berkaitan mengikut keperluan serta kemampuan peruntukan. -PAHANGMEDIA

