Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Sebanyak sembilan projek pembangunan jalan raya dan jambatan bernilai RM655.7 juta diluluskan untuk dilaksanakan di Pahang menerusi Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tahun 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, daripada jumlah itu, tujuh projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) melibatkan peruntukan RM628.2 juta, manakala dua projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membabitkan kos RM27.5 juta.
Menurut beliau, kelulusan projek berkenaan penting bagi meningkatkan kualiti jaringan jalan raya di negeri ini, sekali gus memudahkan pergerakan rakyat, melancarkan aktiviti perdagangan serta merancakkan ekonomi setempat.
“Keseluruhan kos projek yang diluluskan dalam Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ketiga Belas pada tahun hadapan adalah sebanyak RM655.7 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Antara projek utama yang diluluskan ialah kerja menaik taraf dan menaikkan aras Jalan Endau-Pekan (FT003) melibatkan dua seksyen di daerah Pekan dan Rompin dengan peruntukan masing-masing RM130 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM260 juta.
Selain itu, sebanyak RM129.2 juta diperuntukkan bagi pembinaan persimpangan bertingkat (grade-separated) di Jalan Kuantan-Chukai (FT003), Kuantan, manakala RM100 juta bagi kerja menaik taraf Jalan Sungai Lembing (FT231) dan Jalan Sungai Panching Utara (FT1490).
Projek lain di bawah KKR turut melibatkan penggantian Jambatan Sungai Cherating di Jalan Kuantan-Chukai dengan kos RM24 juta serta penggantian pembentung jenis CMP yang rosak dengan jambatan baharu di Jalan Palong 16, Temerloh, bernilai RM20 juta.
Turut diluluskan ialah kerja awalan bagi projek menaik taraf Jalan Benta-Jerantut-Maran (FT64), Fasa 1, Segmen 10 dari Kampung Jeransang ke Kampung Kemahang, Lipis, dengan peruntukan RM90 juta bagi kerja reka bentuk dan pengambilan tanah.
Sementara itu, dua projek di bawah KKDW melibatkan kerja menaik taraf jambatan dan jalan di Kampung Sungai Mok, Rompin, bernilai RM18 juta serta pembinaan jambatan konkrit di Kampung Lata Kasah, Jerantut, dengan kos RM9.5 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, sehingga 31 Oktober 2026, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang menerima peruntukan sebanyak RM403 juta bagi kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan serta kerja rutin di jalan Persekutuan.
Sebanyak 376 kerja penyelenggaraan telah dilaksanakan di seluruh negeri dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, usaha berterusan dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan raya serta jambatan itu diharap dapat memberi manfaat kepada rakyat menerusi penyediaan kemudahan yang lebih baik, selain meningkatkan kelancaran perhubungan antara kawasan. -PAHANGMEDIA

