Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Lebih RM59,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih lampu jalan serta pemasangan dan penggantian tiang serta peralatan berkaitan di kawasan Tanjung Lumpur bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, peruntukan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur luar bandar menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, selain peruntukan TNB, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi pemasangan lampu solar di kawasan berkenaan.
“Berhubung jalan-jalan desa, DUN Tanjung Lumpur turut menerima peruntukan RM70,000 untuk kerja-kerja berkaitan yang diagihkan kepada enam lokasi.
“Manakala empat lagi jalan desa dipasang lampu dengan kos sebanyak RM330,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, YB Dato’ Haji Rosli Abdul Jabar pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurut beliau, usaha membaik pulih dan menyediakan kemudahan lampu jalan di seluruh negeri dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk TNB, KKDW serta pejabat pembangunan luar bandar.
Tambah beliau, meskipun Pahang mempunyai kawasan yang luas dengan keperluan pembangunan yang tinggi, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan kemudahan infrastruktur terus ditambah baik demi kesejahteraan penduduk. -PAHANGMEDIA

