Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan terus mempergiat usaha membanteras spesies ikan asing dan invasif di perairan negeri bagi melindungi ekosistem sungai serta memastikan kelestarian sumber perikanan asli untuk generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, sambutan menggalakkan terhadap Kempen Tangkap Ikan Baung Ekor Merah mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Negeri dan masyarakat dalam menangani ancaman spesies invasif terhadap habitat serta populasi ikan tempatan.
“Alhamdulillah, kita telah mendapat satu sambutan yang cukup memberangsangkan pada Kempen Tangkap Ikan Baung Ekor Merah dan ini adalah usaha komitmen Kerajaan Negeri untuk pastikan bahawasanya ikan invasif ini, ikan asing ini dapat kita tangani supaya ia tidak berkeliaran atau membiak dalam perairan, terutama sekali sungai-sungai utama kita.
“Kerajaan Negeri akan terus menjalankan kempen dan usaha untuk memperkasakan sebarang tindakan bagi membendung usaha membawa masuk atau membiak ikan-ikan invasif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan kewujudan ikan pirana di Empangan Kelau, beliau berkata, Jabatan Perikanan telah mengambil tindakan proaktif bagi mengesan kewujudan spesies berkenaan.
“Baru-baru ini kita ada dengar berita bahawasanya terdapat ikan pirana di Empangan Kelau. Susulan daripada itu, Jabatan Perikanan telah mengambil tindakan proaktif untuk memastikan ikan pirana yang juga merupakan ikan asing dan invasif ini dapat kita tangkap ataupun hapuskan dengan tuntasnya.
“Namun, setelah kita menjalankan kempen dengan penglibatan lebih daripada 150 nelayan darat, kita masih belum mendapat atau melihat tanda-tanda sebenarnya pirana ini wujud di kawasan yang disebutkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha pemantauan akan diteruskan bagi memastikan spesies invasif berkenaan tidak menular ke perairan negeri ini.
“Namun kita tidak mahu merasa selesa. Usaha ini akan diteruskan oleh Jabatan Perikanan untuk memastikan ikan jenis ini tidak akan wujud di perairan kita di Pahang, insya-Allah.
“Saya mohon kerjasama daripada semua pihak untuk sama-sama dengan Kerajaan Negeri dan Jabatan Perikanan menangani isu ini,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kelestarian sumber perikanan negeri, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM250,000 bagi pemeliharaan baka ikan asli bernilai tinggi di Sungai Pahang, manakala RM300,000 disediakan bagi pengurusan sumber perikanan marin dan program konservasi penyu.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan sumber perikanan diurus secara sistematik dan bertanggungjawab demi kepentingan generasi akan datang.
Sementara itu, bagi sektor penternakan, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM5 juta khusus untuk pembangunan industri baka kerbau tenusu, termasuk memperkukuh potensi pengeluaran susu kerbau yang mempunyai nilai pemakanan dan kesihatan yang baik. -PAHANGMEDIA

