Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Lipis dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan strategik bagi pembangunan perindustrian Pahang untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, tumpuan pembangunan di Kuantan melibatkan kawasan perindustrian Gebeng, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dan Pelabuhan Kuantan.
Katanya, pembangunan di daerah Pekan pula akan tertumpu kepada Pekan Automotive Park, manakala di Lipis melibatkan pembangunan Lipis Sentral yang masih mempunyai baki kawasan tanah seluas kira-kira 100 ekar.
“Walau bagaimanapun, pelaksanaan pembangunan di kawasan-kawasan ini akan terus diselaraskan berdasarkan penilaian teknikal, status permohonan semasa dan keupayaan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk memperkukuh pembangunan sektor perindustrian secara terancang, seimbang dan mampan di kesemua 11 daerah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipacu secara menyeluruh.
“Pembangunan kawasan industri dilaksanakan secara berperingkat dan adil sesuai dengan tahap ketersediaan infrastruktur asas, potensi ekonomi tempatan, keperluan pasaran serta keupayaan menarik pelabur.
“Justeru, tahap pembangunan setiap daerah adalah berbeza bergantung pada kemajuan perancangan, penyediaan infrastruktur, pembentukan kluster industri dan perkembangan aktiviti pelaburan,” katanya lagi.
Tambahnya, penilaian kemajuan turut mengambil kira komitmen pelabur dan garis masa pelaksanaan projek bagi memastikan setiap kawasan mempunyai tahap kesediaan yang sesuai, sama ada masih pada peringkat perancangan atau telah bersedia menerima pelaburan dan memulakan operasi.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri tidak akan mengetepikan potensi daerah lain, khususnya di Pahang Barat, sebaliknya akan meneroka peluang berasaskan kelebihan setempat seperti sumber mineral, pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan logistik bagi membentuk kluster industri baharu.
Katanya lagi, pembangunan perindustrian Pahang turut diperkukuh menerusi jaringan logistik yang lebih cekap, khususnya jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang hingga ke Pelabuhan Kuantan.
“Kemudahan ini diyakini dapat tingkatkan daya saing Pahang sebagai destinasi pelaburan dan perindustrian yang lebih kompetitif,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

