Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Hasil mineral negeri Pahang menyumbang sebanyak RM92.441 juta kepada Kerajaan Negeri sehingga 24 November tahun ini, meningkat berbanding RM80.232 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil berkenaan merangkumi enam sumber kutipan iaitu royalti perlombongan, sewa pajakan melombong, permit tanah dan galian, lesen mineral, bayaran permohonan galian serta lesen galian.
Katanya, daripada jumlah tersebut, royalti perlombongan mengikut jenis mineral menyumbang sebanyak RM74.399 juta dengan emas menjadi penyumbang terbesar iaitu RM48 juta, diikuti bijih besi (RM20 juta), bauksit (RM2.7 juta), silika (RM1.5 juta) dan bijih timah (RM1.2 juta).
“Mineral emas merupakan penyumbang terbesar kepada kutipan royalti lombong bagi tahun 2025 dan 2026, iaitu sebanyak RM39.496 juta untuk tahun 2025 sahaja dan RM48 juta sehingga 24 November.
“Maknanya, emas yang paling banyak menyumbang hasil mineral kepada Kerajaan Negeri,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB Tuan Hasan Omar dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap pembangunan industri hiliran mineral bagi meningkatkan nilai tambah sumber mineral tempatan, sekali gus mengukuhkan sektor pembuatan negeri.
“Antara pelaburan yang kita buat di negeri kita yang pertama sekali ialah Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng, di mana kilang besi dan keluli bersepadu ini melibatkan pelaburan asal sekitar RM5.6 bilion dengan kapasiti pengeluaran 3.5 juta tan setahun,” katanya.
Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut meluluskan cadangan pembangunan kilang pengeluaran aloi mangan di Gebeng dengan nilai pelaburan sekitar RM1 bilion yang dijangka mula beroperasi pada 2027 bagi menyokong rantaian bekalan industri besi.
Dalam industri emas pula, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pahang Gold Sdn. Bhd., anak syarikat Pahang Mining Corporation (PMC), yang kini sedang meneroka penghasilan jongkong emas dan barang kemas bagi meningkatkan nilai tambah sumber emas tempatan.
“PMC ini ditubuhkan kalau tak silap saya pada tahun 2022. Dan walaupun ketika penubuhan tersebut, banyak tohmahan yang Kerajaan Negeri terima termasuklah kepada saya dengan mengatakan kononnya Kerajaan Negeri ingin berniaga.
“Tetapi sebenarnya kita nak mewujudkan ‘one-stop centre’, kita nak mempercepatkan pemprosesan dan dalam masa yang sama juga PMC ini boleh mewujudkan keuntungan, akan memberi sumbangan balik kepada Kerajaan Negeri.
“Dan hari ini terbukti bahawa PMC telah menyumbang kepada Kerajaan Negeri lebih kurang RM100 juta. Syabas dan tahniah kepada PMC, kepada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif), kepada semua pegawai,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

