Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Penganjuran Program Pengajian dan Khatam Hadis menjadi platform penting dalam memperkukuh penghayatan ilmu Islam dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat menimba ilmu agama secara langsung daripada ilmuwan tersohor dari pelbagai negara.
“Hari ini, program malam ini sebenarnya penutup daripada petang tadi membaca kitab hadis Silsilah Al-Dhahab dan Thulathiyyat Al-A’immah yang mana dihadiri oleh tokoh-tokoh ulama antaranya Menteri Agama Mesir dan Penasihat Jabatan Mufti Besar Mesir, ulama daripada Mufti India, dan juga ulama daripada Bahrain Prof. Dr. Naji Al-Arabi dan juga ulama hadis daripada Yaman Dr. Yasir.

“Serta ada mufti daripada Uzbekistan sama tadi, jadi ramai lebih kurang 12 orang tokoh daripada negara yang berbeza, termasuk Syeikh Nuruddin daripada Indonesia, semata-mata untuk menghadiri majlis Khatam Quran.
“Jadi saya besar hati, wakil kepada YAB Menteri Besar kerana majlis ini mendapat sambutan yang baik, ramai yang hadir dan dapat manfaat daripada program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan turut mendapat sambutan luar biasa apabila masjid yang menjadi lokasi penganjuran dipenuhi jemaah dengan jumlah kehadiran dianggarkan mencecah 3,000 orang.

“Saya tengok masjid tadi penuh, masjid ini kalau penuh menjangkau sampai 3,000 orang. Jadi saya rasa ini satu sambutan yang menarik dan terbaik untuk program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.
“Lebih istimewa, mereka yang hadir berpeluang memperoleh sanad daripada ulama-ulama berkenaan yang bersambung kepada Rasulullah SAW,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran program keilmuan seumpama itu kini menjadi acara hampir setiap bulan di negeri ini dengan kehadiran tokoh-tokoh ulama secara silih berganti.
“Insya-Allah (program) kita bukan tahunan, dua bulan lepas kita dengan Syeikh Ali Jum’ah, ini macam tiap-tiap bulan ada silih berganti ulama datang ke Negeri Pahang.

“Yang mana dia orang datang ini dengan kemurahan hati dia, bukan kita special request, tak ada. Dia memang datang daripada kemurahan hati dia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Silsilah Al-Dhahab dan Thulathiyyat Al-A’immah Peringkat Antarabangsa Tahun 2026 di Masjid Sultan Ahmad 1.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman; Ketua Hakim Syarie Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, YAA Dato’ Haji Abdul Walid Haji Abu Hassan; dan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Abdul Zaki Mat Zain.
Hadir sama, Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Syeikh Dr. Usamah Al-Azhari; Penasihat Mufti Republik Arab Mesir, Sheikh Dr. Ahmad Mamduh Sa’ad; Pensyarah Hadis, Universiti Bahrain, Syeikh Dr. Naji bin Rashid Al-Arabi; Pengasas Maahad Az Zein Bogor Indonesia dan Musnid Nusantara, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki; Pengasas Dar Al Hadis Al Irth AI Nabawi, Syeikh Dr. Yasir al-‘Adani al-Shuhayri; Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Prof. Datuk Dr. Luqman Haji Abdullah; dan Pengasas Zawiyah Nasiriyah, Syeikh Nazrul Nasir al-Azhary. -PAHANGMEDIA

