Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 11 OKTOBER 2026 : Pahang optimis mampu mengekalkan pencapaian sebagai negeri dengan penyertaan tertinggi sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) tahun ini susulan sambutan menggalakkan daripada rakyat di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, sambutan HSN peringkat negeri pada asalnya dirancang secara sederhana berikutan isu jerebu, namun tetap menerima sambutan meriah daripada masyarakat.

“Alhamdulillah sambutan yang cukup menggalakkan. Tahun lalu Pahang diiktiraf sebagai negeri dengan penyertaan tertinggi dengan lebih 600,000 orang mengambil bahagian.
“Dan kita harap tahun ini kita sekali lagi dinobatkan sebagai negeri yang mendapat penyertaan tertinggi, kita optimis ia boleh dilaksanakan.

“Asalnya Hari Sukan Negara, peringkat negeri Pahang dianjur secara sederhana sebab isu jerebu yang melanda negara. Dalam keadaan itu saya tak sangka dapat sambutan yang cukup baik, cukup meriah daripada rakyat negeri Pahang di seluruh negeri Pahang. Hanya daerah Rompin yang menangguhkan pelaksanaan Hari Sukan Negara peringkat daerah kerana bacaan IPUnya agak tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM375,000 kepada Jabatan Belia dan Sukan bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti HSN di setiap daerah selari dengan kerangka Aspirasi Pahang 1st di mana pembangunan sukan dan pemerkasaan golongan belia merupakan antara agenda penting Kerajaan Negeri.
“Antara kelainan kali ini kita buat pertama kali perkenalkan senam robik Pahang Move yang dilaksanakan di seluruh negeri Pahang. Dan Kerajaan Negeri Pahang memang beri tumpuan khusus kepada penglibatan rakyat Pahang dalam bidang sukan, rekreasi, dan juga sukan lasak.

“Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah kepada saya untuk memperbanyakkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti sukan rekreasi dan sukan lasak di negeri ini khususnya melibatkan anak-anak muda. Kita nak lahirkan anak muda yang tahan lasak dan anak muda yang sihat.
“Sebab melalui sukan insya Allah kita dapat lahirkan mereka yang punya disiplin, daya tahan, dan yang paling penting sihat. Dan untuk Hari Sukan Negara ini saja, Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan peruntukan sebanyak RM375,000 kepada Jabatan Belia dan Sukan untuk pelaksanaan di setiap daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Pahang sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

