Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 12 OKTOBER 2026 : Program Karya Anak Pahang menjadi platform bagi rakyat negeri ini mengetengahkan bakat dan kreativiti tersendiri menerusi penghasilan karya dalam bentuk gambar, video serta penulisan di media sosial.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal, inisiatif itu membuka ruang kepada rakyat Pahang daripada pelbagai latar belakang untuk berkarya mengikut kebolehan masing-masing, sekali gus membuktikan kreativiti boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk dan pendekatan.
“Karya Anak Pahang ini kita laksanakan khusus untuk rakyat-rakyat Pahang berkarya sama ada di platform media sosial itu sendiri melibatkan Facebook, TikTok, IG dan sebagainya, dari segi gambar, dari segi video dan juga dari segi penulisan.
“Dan kita tentukan tema-tema di setiap bulan. Ada tema hari raya, tema anak rantau, tema sukan, tema agama, pendidikan dan sebagainya. Dan sejak kita laksanakan, ia dapat sambutan yang cukup baik daripada rakyat Pahang itu sendiri.

“Dan kita baru tahu ramai yang pandai berkarya cuma cara yang berbeza. Dan Kerajaan Negeri Pahang memang nak menggalakkan rakyatnya menghebahkan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, kelebihan dan keunikan yang terdapat di bumi Pahang ini supaya ia jadi satu gerakan massa memberitahu kepada rakyat Pahang sendiri dan rakyat di luar negeri Pahang itu tentang pencapaian kita, kejayaan kita, inisiatif kita dan macam-macam lagi terutama dari segi inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri Pahang itu sendiri,” katanya.
Selain menjadi ruang mengetengahkan bakat, program itu turut menawarkan ganjaran RM200 bagi setiap karya terpilih sebagai galakan kepada orang ramai untuk terus berkarya dan menyertai inisiatif berkenaan.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai golongan muda, termasuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, menyertai program itu serta memanfaatkan media sosial secara kreatif dan bermanfaat.
“Dan saya nak gesa rakyat Pahang khususnya orang muda, jangan kita gunakan media sosial ni pada perkara-perkara yang kita kosong semata-mata. Cuba kita ambil masa sikit, kita fikir sikit content yang menepati Karya Anak Pahang ni dan dengan usaha yang sedikit itu, dengan usaha yang mudah tu kita dapat ganjaran RM200.

“Jadi rebutlah peluang ini, sambil-sambil enjoy media sosial dapat duit dan siapa-siapa pun boleh. Rajin sikit je. Jadi saya nak gesa anak muda khususnya untuk lagi ramai melibatkan diri.
“RM200 hadiah untuk satu kreativiti saya ingat harga yang tinggi juga. Jadi rebutlah peluang ini untuk kita berkarya dan kita menikmati hasil RM200 itu,” katanya.
Susulan sambutan positif, Karya Nak Pahang akan diteruskan pada tahun depan dengan usaha memperluas hebahan bagi menarik lebih ramai penyertaan.
“Lepas ini kita buat satu tema khas nama dia Karya Anak Pahang, tema dia, bagaimana boleh tarik lagi ramai orang untuk terlibat. Kita sekarang ni tema-tema tertentu, agama, pendidikan, sukan dan sebagainya. Tema lepas ni Karya Anak Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Hadiah Pemenang Karya Anak Pahang bagi bulan Julai dan Ogos 2026 di Auditorium Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

