Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 11 OKTOBER 2026 : Tindakan tegas termasuk menghentikan serta-merta penyaliran air ke sungai dari premis yang disyaki menjadi punca pencemaran perlu diambi susulan pencemaran yang dilaporkan berlaku di Sungai Gali dan Lampan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, tindakan tegas itu perlu bagi membendung pencemaran daripada terus merebak dan menjejaskan ekosistem sungai.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) telah mengambil sampel air daripada premis yang disyaki untuk dihantar segera ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.
“Saya ucap terima kasih banyak-banyak kepada UPNP yang telah mengambil sampel air daripada sebuah premis yang disyaki menjadi punca kepada pencemaran ini jam 2.00 pagi tadi (semalam) dan saya difahamkan sampel air ini akan dihantar segera ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
“Saya telah minta UPNP untuk memastikan tiada lagi penyaliran air daripada premis tersebut ke sungai yang berdekatan, maknanya dihentikan serta-merta.
“Pada masa yang sama, saya minta pihak Majlis Daerah Raub untuk hentikan operasi premis ini sementara mereka memperbaharui lesen operasi yang telah pun tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pencemaran yang pada awalnya melibatkan Sungai Lampan dan Sungai Gali kini dilaporkan telah mula merebak ke Sungai Dong.
Katanya, keadaan itu amat membimbangkan apabila kandungan oksigen dalam air yang terlalu rendah menyebabkan kematian hidupan akuatik, sekali gus berisiko menjejaskan habitat dan ekosistem ketiga-tiga sungai berkenaan.
Beliau menegaskan, kejadian itu dipandang serius kerana kemusnahan ekosistem sungai bukan sahaja menjejaskan hidupan akuatik, malah memerlukan tempoh yang panjang untuk dipulihkan.
“Saya memandang serius kejadian ini kerana ia memusnahkan habitat dan ekosistem sungai yang pastinya mengambil masa panjang untuk kita pulihkan.
“Terima kasih kepada pihak berkuasa, khususnya Unit Penguatkuasa Negeri Pahang, Majlis Daerah Raub dan juga JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Raub kerana mengambil tindakan pantas dan tegas untuk mengatasi masalah,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

