Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 11 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) mengambil tindakan pantas dan berterusan susulan insiden pencemaran air di Sungai Gali dan Sungai Lampan, Raub.
Langkah drastik itu diambil bagi memastikan tindakan perundangan yang kukuh dan tegas dapat dilaksanakan terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas pencemaran sungai berkenaan.
Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Encik Saifullah Muhammad Ali berkata, pihak penguat kuasa telah turun ke lokasi kejadian Sabtu dan semalam bagi menjalankan pemeriksaan serta mengambil sampel air di kawasan yang disyaki menjadi punca pencemaran.
“Kita telah mengambil sampel air di kedua-dua sungai berkenaan dan sampel berkenaan telah pun kita hantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, pihak UPNP juga telah mengenalpasti punca yang disyaki, namun tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sebaik sahaja keputusan analisis makmal diperolehi.

“Kita dan kenal pasti punca, namun untuk mengetahui sama ada pihak yang bertanggungjawab bersalah atau tidak dalam hal ini, kita kena tunggu keputusan dari Jabatan Kimia.
“Tindakan lanjut termasuk mendakwa pihak bertanggungjawab di mahkamah akan diambil sekiranya keputusan analisis mendapati kandungan atau sisa buangan melebihi piawaian yang ditetapkan di bawah undang-undang,” jelasnya.
Penegasan tindakan UPNP itu sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang di bawah tadbir urus yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar serta kebajikan penduduk setempat.
Tindakan proaktif UPNP menerusi skop kawal selia dan penguatkuasaan sumber air negeri itu turut mencerminkan ketegasan Kerajaan Negeri yang tidak akan bersekongkol dengan mana-mana premis atau individu yang mencemarkan sumber air rakyat.
Terdahulu, Pahang Media pada Sabtu lalu melaporkan pencemaran serius yang melanda Sungai Gali dan Sungai Lampan sehingga menyebabkan pelbagai spesies ikan mati memerlukan tindakan segera bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengelakkan kemusnahan ekosistem sungai.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal telah bertindak melakukan tinjauan ke lokasi bagi melihat sendiri keadaan kedua-dua sungai berkenaan susulan aduan penduduk setempat. -PAHANGMEDIA

