Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 11 OKTOBER 2026 : Temasya Orang Pahang (TOP) 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh rasa bangga terhadap warisan budaya, seni dan makanan tradisional negeri ini selain menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, penganjuran program tersebut turut membuktikan kekayaan identiti Pahang yang terserlah melalui kepelbagaian adat, seni persembahan dan makanan warisan dari setiap daerah.
Menurutnya, keunikan yang terdapat di setiap daerah di Pahang perlu terus dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi muda supaya khazanah berkenaan tidak sekadar menjadi kenangan, sebaliknya kekal sebagai identiti yang dibanggakan.

“TOP ini diharapkan menjadi titik permulaan untuk mencetuskan semangat bangga terhadap warisan budaya dan seni yang ada dalam jiwa anak bangsa supaya dapat terus diperkasakan.
“Usaha memelihara seni budaya ini bukan sekadar untuk dipertontonkan, tetapi perlu diperkasakan sebagai aset warisan negara yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang pada Majlis Perasmian Temasya Orang Pahang (TOP) 2026 yang berlangsung di Dataran Bentong yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Kerajaan Negeri Pahang selama tiga hari bermula 9 Oktober.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya mewakili YB. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man; dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen.
Menurut beliau, kepelbagaian makanan tradisional yang diketengahkan di setiap daerah juga merupakan antara tarikan utama yang mampu memperkenalkan keunikan Pahang kepada pengunjung.

Antara makanan yang menjadi kebanggaan negeri ini termasuk Lemang To’ki dari Bentong, puding raja dari Pekan, serta pelbagai hidangan tradisional dari daerah lain yang mencerminkan keunikan cita rasa masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara kerajaan negeri, kementerian dan agensi berkaitan dapat diperkukuh bagi membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk terlibat dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh perpaduan masyarakat serta meningkatkan penghargaan terhadap khazanah budaya yang menjadi kebanggaan rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

