Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 OKTOBER 2026 : Wanita di Pahang diseru agar tidak membiarkan rasa takut menghalang mereka daripada menjalani pemeriksaan kesihatan, khususnya saringan kanser payudara bagi membolehkan penyakit itu dikesan dan dirawat lebih awal.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, kesedaran mengenai kanser payudara tidak seharusnya terhad kepada sambutan tahunan pada Oktober, sebaliknya perlu dijadikan amalan sepanjang masa.
“Kanser payudara merupakan satu isu kesihatan yang tidak seharusnya dipandang ringan. Namun begitu, dalam membicarakan tentang kanser payudara, saya percaya perkara paling penting ialah kita tidak boleh membiarkan rasa takut menghalang kita daripada mengambil tindakan, jangan takut untuk memeriksa, jangan takut untuk bertanya, jangan takut untuk mendapatkan saringan.

“Dan yang paling penting, jangan menunggu sehingga wujud tanda-tanda yang serius sebelum kita mengambil berat tentang kesihatan diri. Kadang-kadang kita perlu berani mengetahui sesuatu yang kita takut untuk dengar kerana mengetahui lebih awal memberi kita ruang untuk bertindak lebih awal.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa kesedaran kanser payudara tidak seharusnya berhenti pada bulan Oktober. Kita tidak mahu kesedaran hanya menjadi satu warna pada kalendar. Kita mahu ia menjadi satu budaya hidup. Bukan hanya Pink October, tetapi Pink Every Day,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Tahun 2026 Peringkat Negeri Pahang di Melor Concourse, Berjaya Megamall hari ini.

Beliau berkata, kesihatan wanita bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri, malah turut mempengaruhi kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
“Kesihatan seorang wanita bukan hanya tanggungjawab wanita itu sendiri. Apabila seorang ibu sihat, keluarga mendapat manfaatnya. Apabila seorang isteri sihat, suami turut merasai kekuatannya, apabila seorang wanita diberi ruang untuk menjaga kesihatan dirinya, masyarakat juga mendapat manfaat daripada sumbangan dan peranannya.
“Jangan kerana terlalu sibuk menjaga suami dan anak-anak, kita terlupa menjaga diri sendiri. Jangan kerana terlalu sibuk bekerja, kita tangguhkan pemeriksaan. Jangan kerana takut mendengar keputusan, kita memilih untuk tidak mengetahui,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang juga terus komited dalam memperkukuh kesejahteraan wanita menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Program Cakna Suri yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan kebajikan golongan berkenaan.
Katanya, pada 2021, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi menyediakan saringan mamogram percuma kepada 6,000 wanita di seluruh negeri, dan inisiatif berkenaan diteruskan pada 2022 menerusi peruntukan RM1.9 juta yang turut merangkumi saringan kanser serviks menggunakan kaedah HPV DNA kepada 6,000 wanita daripada kelompok B40.
Tambah beliau, pada 2023, Program Cakna Suri Tambahan dan saringan HPV DNA diteruskan dengan penyediaan perkhidmatan mamogram percuma kepada 6,000 wanita daripada kelompok B40 dan M40.
Beliau berkata Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM5 juta bagi tempoh 2022 hingga 2026 bagi pelaksanaan Dasar Wanita dan Pelan Tindakan Wanita Negeri Pahang sebagai usaha memperkasa wanita secara menyeluruh. -PAHANGMEDIA

