Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 OKTOBER 2026 : Hampir 800 motosikal berkuasa tinggi, kebanyakannya jenama Harley-Davidson, menyertai edisi sulung Kuantan Bike Week Vol. 1 2026 di perkarangan Stadium Darul Makmur, sekali gus membuka peluang kepada penganjuran acara itu sebagai tarikan pelancongan tahunan di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, sambutan menggalakkan daripada peserta seluruh negara mendorong Kerajaan Negeri menyatakan kesediaan untuk bekerjasama bagi menjayakan penganjuran edisi kedua tahun depan.
“Saya lihat dapat sambutan yang cukup baik di mana hampir 800 buah motosikal berkuasa tinggi kebanyakannya Harley-Davidson lah yang mengambil bahagian daripada merata dari seluruh negara.

“Kita mengalu-alukan penganjuran program sebegini kerana banyak manfaat kepada Negeri Pahang, terutama dari segi pelancongan dan peluang ekonomi kepada rakyat.
“Kebanyakan peserta datang dari luar Pahang dan ada yang membawa keluarga, mereka menginap di hotel atau inap desa serta berbelanja di Kuantan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kuantan Bike Week Vol. 1 2026 di sini.
Beliau berkata, penganjuran acara itu bukan sekadar menghimpunkan peminat motosikal berkuasa tinggi, malah menjadi platform mengeratkan persahabatan dan persaudaraan dalam kalangan komuniti permotoran.
“Ia adalah semangat persahabatan, semangat persaudaraan yang mana kalau tak ada semangat sekawan tu, mereka tak akan ride beratus kilometer jauh semata-mata nak datang Kuantan,” katanya.

Sementara itu, penganjur program Kuantan Bike Week Vol. 1, Mohd Ady Hafize Hanafiah berkata, program berkenaan turut bertujuan memperluas penyertaan komuniti motosikal berkuasa tinggi serta memperkenalkan Kuantan kepada lebih ramai peminat permotoran dari seluruh negara.
“Paling ramai peserta kita yang dapat support lah daripada Kuantan, Motor Group dan Motor Club sendiri. Dalam 300 peserta lebih.
“Matlamat kita ni, kita nak naikkan grup motor supaya lebih ramai pengguna motor-motor berkuasa tinggi ni dan kita nak bawa dia orang ni kenal Kuantan,” katanya.
Kuantan Bike Week Vol. 1 berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober 2026 dengan mengetengahkan komuniti permotoran sebagai tarikan utama. -PAHANGMEDIA

