Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 OKTOBER 2026 : Impian mengadakan majlis perkahwinan yang meriah di dewan gah akhirnya menjadi kenyataan buat 11 pasangan pengantin menerusi Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Tahun 2026 Parlimen Kuantan yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Bagi pasangan Puan Iznur Fatin Mhd Saleh, 28, dan suaminya, Encik Ahmad Nur Ekmal Ghazali, 29, peluang menyertai program berkenaan merupakan rezeki yang tidak disangka-sangka, apatah lagi mereka pada awalnya merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan sendiri pada penghujung tahun ini.
“Sejujurnya, kami tidak merancang pun untuk menyertai program ini, tetapi mungkin sudah rezeki kami. Tak sangka dalam ramai-ramai yang memohon, kami terpilih.

“Kalau tidak dapat menyertai program ini, kami mungkin tetap mengadakan majlis sendiri, tetapi tidaklah semeriah ini.
”Terima kasih banyak kepada Kerajaan Negeri sebab sanggup bantu, sponsor untuk golongan kita ni yang kurang berkemampuan,”katanya.
Lebih menggembirakan, pasangan itu turut menerima tajaan pakej bulan madu ke Royal Chulan Cherating menerusi cabutan bertuah yang disediakan pihak penaja.
Sementara itu, pasangan Puan Rozlin Hikma Razali, 35, dan Encik Asrul Haris, 38, menyifatkan penyertaan mereka dalam program berkenaan sebagai pengalaman yang cukup menggembirakan, lebih-lebih lagi apabila menerima pelbagai kejutan daripada pihak penaja.

Puan Rozlin Hikma berkata, mereka pada asalnya merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan secara kecil-kecilan, namun hasrat itu mungkin terpaksa ditangguhkan kerana masih mengumpul wang untuk menampung perbelanjaan.
“Kalau tidak dapat menyertai program ini, kami memang bercadang untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan, cuma mungkin lambat sedikit kerana masih dalam proses mengumpul duit.
“Terima kasih kepada Tokwan kerana mengadakan majlis seperti ini. Semoga selepas ini program seumpama ini dapat diteruskan untuk membantu pasangan lain pula,” katanya.
Suaminya, Encik Asrul pula menyifatkan pengalaman diraikan dalam majlis yang meriah di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah sebagai sesuatu yang tidak pernah dibayangkan mereka sebelum ini.
“Rasa macam T20 sangat sebab makanan pun sedap. Kami rasa gembira dan bangga kerana tidak sangka sambutan perkahwinan kami boleh semeriah ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

