Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 OKTOBER 2026 : Permintaan menggalakkan menyaksikan seramai 11 pasangan pengantin diraikan menerusi Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Tahun 2026 Peringkat Parlimen Kuantan yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, jumlah pasangan yang diraikan tahun ini melebihi sasaran asal sebanyak 10 pasangan berikutan permintaan tinggi untuk menyertai program berkenaan.

Menurutnya, penyertaan tambahan diterima bagi memberi peluang kepada lebih ramai pasangan mendirikan rumah tangga menerusi inisiatif itu tanpa menghampakan hasrat mereka.
“Alhamdulillah, hari ini merupakan hari yang menggembirakan apabila kita dapat meraikan 11 pasangan pengantin menerusi Anggun Suri bagi Parlimen Kuantan.

“Pada asalnya, kita menetapkan 10 pasangan, tetapi permintaan begitu menggalakkan. Jadi, kita menerima penyertaan tambahan ini supaya tidak menghampakan anak-anak kita yang ingin berkahwin,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan.
Tambah beliau, program tahun ini turut menerima tajaan Tourism Pahang dalam bentuk pakej bulan madu di destinasi peranginan terkenal di negeri ini, selain tajaan gold wafer daripada Ariffin Gold untuk pasangan pengantin.

Beliau berharap program berkenaan dapat menjadi inspirasi kepada pasangan yang diraikan untuk membina kehidupan berumah tangga yang bahagia, di samping merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif itu.
“Yang paling penting, terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan semoga pengantin kita kekal bahagia sehingga ke akhirnya,” katanya.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, Dato’ Sri Abd Hamid Nazahar; Ketua Wanita Bahagian Kuantan, Dato’ Zaitun Mat serta barisan ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

