Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 29 SEPTEMBER 2026 : Peluang untuk menyerlah dalam bidang kandungan digital kini dibuka lebih luas kepada anak Pahang menerusi pencarian Ikon Aspirasi Pahang 1st, yang menyasarkan pemilihan 20 individu berpotensi untuk dibentuk sebagai bakat yang mampu membawa nama negeri ke peringkat lebih luas.
Program yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Aspirasi Pahang 1st itu turut mendapat peruntukan sebanyak RM1 juta dalam Belanjawan Pahang 2026 di bawah komponen kesenian, kebudayaan dan warisan.
Bagi merealisasikan usaha tersebut, satu sesi pemilihan akan berlangsung pada 4 Oktober ini di Shahzan Hotel, Kuantan, dari jam 10 pagi hingga 5 petang sebelum 20 peserta dipilih untuk mengikuti rangkaian program pembangunan yang disediakan.
Antaran panel penilai ialah pelakon dan model terkenal Nasha Aziz; Mrs Malaysia World 2025, Dato’ Dr Emma Ibrahim; wanita usahawan dan pakar motivasi minda, Dr Azu Shahadan, selain wakil TikTok dan juga TikTok Shop.
Menurut Dr Azu Shahadan, pencarian tersebut bukan hanya mengenai individu yang telah mempunyai nama dalam media sosial, sebaliknya turut memberi perhatian kepada mereka yang mempunyai potensi untuk dibangunkan.
“Kadangkala ikon yang kita cari bukanlah individu yang sudah terkenal. Mereka mungkin berada di sekeliling kita, mempunyai bakat yang belum diberikan ruang untuk berkembang.
“Melalui Ikon Aspirasi Pahang 1st, diharapkan ia membuka ruang dan memberi platform untuk ikon belajar, berkembang dan akhirnya menjadi wajah yang boleh mewakili bakat anak Pahang,” katanya.
Selepas pemilihan, peserta akan mengikuti beberapa siri pembangunan yang merangkumi latihan, bootcamp dan bimbingan, selain diberikan pengalaman menghasilkan kandungan serta menyertai aktiviti berkaitan sosial dan eko-pelancongan.
Mereka juga akan diberi pendedahan berkaitan pembinaan personal branding supaya keupayaan yang dimiliki dapat dikembangkan secara lebih terarah dan berpotensi diterokai sebagai kerjaya.
Antara pengisian awal yang dirancang ialah breakfast bersama Nasha Aziz pada 5 Oktober, yang turut menjadi ruang untuk peserta mendapatkan penerangan serta perkongsian pengalaman daripada tokoh berkenaan.
Penganjur menyasarkan peluang kerjasama dengan lebih 20 syarikat dan jenama, termasuk jenama antarabangsa seperti Coca-Cola, Huggies, P&G, Oral-B dan Nestlé.
Dari sudut pengiktirafan pula, 20 ikon berkenaan bakal menerima sijil pengiktirafan di peringkat Negeri Pahang yang akan disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, selain berpeluang merebut hadiah utama bernilai RM10,000.
Pencarian ini terbuka kepada individu berusia 18 hingga 49 tahun yang mempunyai kaitan dengan Pahang dan berminat meneroka bidang kandungan digital, TikTok serta pembangunan personal branding.
Orang ramai yang berminat perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu sebelum hadir ke sesi ujibakat pada 4 Oktober ini.
Maklumat lanjut mengenai pendaftaran boleh diperoleh menerusi www.ikonofficial.com atau akaun TikTok @ikonaspirasi. -PAHANGMEDIA

