Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 13 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan hampir RM45,000 bagi menyalurkan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM200 kepada warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai menerusi usaha berterusan menyantuni golongan berkenaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan warga emas selain menjadi tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan berkenaan.
“Walaupun RM200 itu tidak banyak, tetapi saya fikir sumbangan ini boleh membantu meringankan beban kewangan yang mereka hadapi.

“Ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri untuk menyantuni setiap lapisan masyarakat melalui kemampuan kewangan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Khas One-off Bantuan Warga Emas Negeri Pahang di bawah Program Apresiasi Pahang 1st dan Inisiatif Makmur Pahang Kluster Pertanian DUN Jelai di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan.
Menurut beliau, bantuan berkenaan turut menjadi tanda ingatan dan kasih sayang kerajaan negeri terhadap golongan warga emas yang sentiasa diberi perhatian.
Tambah beliau, usaha membantu rakyat dilaksanakan menerusi pelbagai kluster termasuk ekonomi, pendidikan, kebajikan dan keagamaan.
Mengulas kemungkinan bantuan sama diperluaskan ke lokasi lain, beliau berkata pelaksanaannya bergantung kepada keperluan serta kemampuan kewangan kerajaan negeri. -PAHANGMEDIA

