Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 29 SEPTEMBER 2026 : Selepas kira-kira 10 tahun menanti, keluarga Mohd Azuan Mohd Amin akhirnya menerima kediaman sendiri menerusi Program Residensi Rakyat (PRR) Inderapura, yang ditawarkan pada harga hanya RM45,000 berbanding kos pembangunan sekitar RM300,000 seunit.
Lebih bermakna, kediaman berkenaan merupakan Rumah Mesra OKU (wheelchair) yang dilengkapi kemudahan laluan tanjakan (ramp) bagi memudahkan pergerakan Mohd Azuan selepas beliau mengalami strok kira-kira dua tahun lalu.
Isterinya, Hanisah binti Abd Kadir, berkata penyerahan rumah itu memberi kelegaan besar kepada keluarga mereka yang sebelum ini menumpang di rumah ibu mertua, selain terpaksa melakukan pengubahsuaian bagi menyesuaikan kediaman dengan keadaan suaminya.
Menurutnya, permohonan rumah berkenaan dibuat kira-kira 10 tahun lalu selepas mendapat dorongan daripada seorang rakan sebelum mereka dimaklumkan untuk memindahkan permohonan dari Kampung Tilam ke lokasi PRR berkenaan.
“Selepas suami mengalami strok, saya mengambil alih tanggungjawab menguruskan beliau termasuk urusan berkaitan permohonan rumah. Dalam masa sama, saya juga menjaga ibu mentua dan kami mempunyai dua orang anak,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, setiap unit yang bernilai hampir RM300,000 ditawarkan hanya RM45,000, sekali gus memberikan subsidi sekitar RM255,000 bagi setiap rumah.
“RM255,000 itu merupakan subsidi atau bantuan daripada kerajaan untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah PRR Inderapura dan surat tawaran PRR Pulau Manis, hari ini.

Beliau berkata skim berkenaan memberi keutamaan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah, manakala sebanyak 200 unit disediakan menerusi PRR Inderapura dan PRR Pulau Manis, masing-masing 100 unit, dengan kos pembangunan keseluruhan RM60 juta.
Sebanyak 69 pembeli menerima kunci rumah, manakala 23 lagi menerima surat tawaran PRR Pulau Manis dalam majlis yang berlangsung di perkarangan PRR Inderapura dan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut beliau, hampir 29,000 unit rumah pelbagai skim perumahan Pahang telah siap dibina, dengan nilai jualan sekitar RM2.28 bilion, manakala nilai semasa keseluruhan kediaman berkenaan dianggarkan RM5 bilion.
“Maknanya RM2.8 bilion tu adalah subsidi yang kerajaan sediakan ataupun kita kirakan sebagai hadiah daripada Kerajaan Negeri yang merupakan subsidi,” katanya.
Pada masa sama, sistem ePerumahan Negeri Pahang merekodkan 108,000 permohonan sehingga Julai 2026, termasuk 37,800 permohonan dari Daerah Kuantan. PRR Inderapura dibangunkan di atas tanah kerajaan seluas 11.5 ekar, manakala PRR Pulau Manis di atas tanah seluas 10 ekar, masing-masing menyediakan 100 unit kediaman.-PAHANGMEDIA

