Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2026 : Seramai 5,906 penjaja dan peniaga kecil golongan B40 sedia ada di seluruh Pahang menerima bantuan one-off RM200 seorang menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IMP) Kluster B40 bagi membantu meringankan beban kos operasi serta memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan penjaja yang menjadi antara penyumbang kepada aktiviti ekonomi setempat.
“Jumlah keseluruhan penerima bagi penjaja di Negeri Pahang tahun 2026 adalah sebanyak 5,906.
“Bantuan tunai sebanyak RM200 yang diagihkan kepada golongan penjaja ini merupakan salah satu usaha murni Kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Tahun 2026 Kluster B40: Bantuan One-Off Kepada Penjaja B40 Sedia Ada Negeri Pahang di Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.

Beliau berkata, bantuan itu turut bertujuan meringankan beban kewangan penjaja, khususnya mereka yang telah memperbaharui lesen perniagaan, di samping menggalakkan lebih ramai penjaja menjalankan perniagaan secara sah dan berlesen.
“Bantuan ini juga diharap dapat meringankan beban kewangan penjaja, khususnya kos mendapatkan atau memperbaharui lesen perniagaan, selain membantu meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan golongan penjaja serta menyokong kelangsungan perniagaan kecil dan mikro,” katanya.
Bagi penyampaian yang berlangsung hari ini, seramai 42 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis menerima manfaat bantuan berkenaan sebagai sebahagian daripada keseluruhan 5,906 penjaja dan peniaga kecil yang layak di seluruh negeri.
“Jumlah keseluruhan penerima DUN Pulau Manis sebanyak 42 orang penerima.
“Diharapkan juga dengan adanya bantuan ini dapat menggalakkan pertumbuhan aktiviti ekonomi setempat melalui kelangsungan perniagaan kecil,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan IMP turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan penjaja tidak terpinggir daripada arus pembangunan semasa, khususnya mereka yang bergantung kepada sektor berkenaan sebagai punca rezeki.
“Inisiatif ini merupakan bukti nyata keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat di peringkat akar umbi, terutamanya mereka yang bergantung kepada sektor penjaja sebagai punca rezeki,” katanya.
Beliau turut menyeru penerima supaya memanfaatkan bantuan tersebut bagi memperkukuh dan mengembangkan perniagaan, selain meningkatkan kemahiran, pengetahuan serta daya saing dalam menjalankan perniagaan.
“Saya menyeru kepada semua golongan penjaja supaya memanfaatkan bantuan yang diterima untuk memperkukuh dan mengembangkan perniagaan, meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan daya saing dalam menjalankan perniagaan,” katanya.
Inisiatif Makmur Pahang mengandungi empat kluster iaitu Kluster Pelajar, Kluster Agama, Kluster B40 dan Kluster Umum, manakala bagi bantuan one-off kepada penjaja B40 sedia ada dan Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3 juta. -PAHANGMEDIA

