Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 29 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang melihat pendekatan pertanian pinggir bandar yang dilaksanakan di Barcelona sebagai antara model yang berpotensi disesuaikan dengan keperluan negeri, khususnya dalam memastikan kawasan pertanian terus dipelihara seiring perkembangan bandar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu antara input penting yang diperoleh menerusi lawatan kerja beliau bersama delegasi Pahang ke Masia de Can Comas, Parc Agrari del Baix Llobregat, hari ini.
Beliau berkata, model pertanian di Parc Agrari membuktikan kawasan pertanian mampu dipelihara dan diurus secara tersusun walaupun berada berhampiran kawasan bandar.
“Parc Agrari del Baix Llobregat meliputi kira-kira 2,938 hektar dan 14 perbandaran.

“Di Masia de Can Comas, kami melihat pendekatan yang menggabungkan pertanian, penyelidikan gunaan, teknologi, pemeliharaan varieti tanaman tradisional serta pemasaran hasil pertanian segar untuk pasaran sekitar.
“Pendekatan proximity agriculture atau pertanian dekat dengan pasaran pengguna juga sangat relevan, apabila hasil segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dapat disalurkan terus kepada pengguna bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas meneruskan hari terakhir lawatan kerja bersama delegasi Pahang ke pusat berkenaan.
Menurut beliau, antara perkara menarik yang turut diteliti Arboretum Can Comas ialah menerusi koleksi varieti buah-buahan tradisional dan kawasan eksperimen pertanian.
“Antara yang menarik ialah Arboretum Can Comas yang menghimpunkan pelbagai varieti pokok buah-buahan tradisional, di samping kawasan eksperimen bagi menyokong pembangunan sistem pengeluaran pertanian.

“Bagi Pahang, pengalaman ini memberikan perspektif bahawa pembangunan pertanian bukan sekadar meningkatkan pengeluaran, tetapi turut melibatkan pemeliharaan tanah, teknologi, penyelidikan, pemasaran, sumber genetik dan peningkatan pendapatan petani,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan tadbir urus bersama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, petani dan pihak berkepentingan yang dilaksanakan di Parc Agrari turut menjadi satu contoh yang boleh diteliti bagi melihat kesesuaiannya dengan konteks Pahang.
Jelasnya, antara pendekatan yang akan diberi perhatian termasuk konsep farm-to-market, pemasaran hasil segar, penyediaan kawasan eksperimen, pemeliharaan varieti tradisional serta pembangunan pertanian peri-urban.
“Insya-Allah, pendekatan seperti farm-to-market, pemasaran hasil segar, kawasan eksperimen, pemeliharaan varieti tradisional dan pertanian peri-urban akan kita lihat kesesuaiannya untuk disesuaikan dengan potensi Pahang.
“Setiap pengalaman daripada lawatan kerja ini akan kita jadikan input untuk terus memperkukuh sektor pertanian Pahang supaya lebih moden, berdaya saing, mampan dan memberi nilai ekonomi yang lebih besar kepada rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

