Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ashraf Hakimi
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2026 : Kekayaan biodiversiti Negeri Pahang yang merangkumi kepelbagaian flora, fauna dan ekosistem semula jadi bukan sahaja menjadi khazanah berharga, malah berpotensi menjadi pemacu pembangunan ekonomi negeri menerusi sektor ekopelancongan, penyelidikan saintifik serta penerokaan produk berasaskan sumber biologi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, potensi berkenaan perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab tanpa mengabaikan keseimbangan ekosistem dan kelangsungan sumber semula jadi.

“Pada masa yang sama, kekayaan biodiversiti Pahang juga mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, khususnya dalam bidang ekopelancongan, penyelidikan saintifik dan penerokaan produk semula jadi berasaskan sumber biologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Hari Biodiversiti Negeri Pahang 2026 di Majlis Bandaraya Kuantan, di sini, semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan perhatian serius terhadap usaha pemeliharaan khazanah alam semula jadi menerusi pendekatan pembangunan seimbang dan mampan, termasuk penggubalan Enakmen Biodiversiti Pahang 2021 serta kelulusan Dasar Biodiversiti Negeri Pahang yang berteraskan lima teras strategik.
Beliau berkata, usaha berkenaan menjadi asas penting dalam memastikan pengurusan dan pemeliharaan biodiversiti negeri dilaksanakan secara lebih sistematik serta berkesan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha pemeliharaan biodiversiti tidak boleh hanya bergantung kepada dasar dan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya perlu diperkukuh melalui penyelidikan, pendidikan, perkongsian ilmu serta penglibatan aktif masyarakat.
“Dalam hal ini, pengurusan biodiversiti tidak boleh hanya bergantung kepada dasar dan penguatkuasaan undang-undang. Ia perlu diperkukuh melalui penyelidikan, pendidikan, perkongsian ilmu dan penglibatan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, pelbagai pengisian dilaksanakan sempena Hari Biodiversiti Negeri Pahang 2026, antaranya Seminar Biodiversiti Negeri Pahang 2026, Biodiversity Brisk Walk di Taman Eko Rimba Pelindung, Cherating Firefly Tours serta Program Pendidikan Biodiversiti Cameron Highlands 2026.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan biodiversiti serta tanggungjawab bersama dalam memastikan kelestarian alam sekitar.
“Pendekatan pembelajaran secara teori dan lapangan seperti ini amat penting dalam melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berfikiran kritis dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 14 bandar di Malaysia menerima pengiktirafan sebagai Bandar Paling Mampan 2026, dengan lapan daripadanya merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang.
Pengiktirafan itu sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan bandar mampan yang turut memberi penekanan kepada aspek pemeliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar. -PAHANGMEDIA

