Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
BENTONG, 20 SEPTEMBER 2026 : Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Bentong telah berjaya menghimpunkan lebih 2,000 hingga 3,000 masyarakat Pelangai, sekali gus membuktikan eratnya hubungan kebersamaan antara kepimpinan dan rakyat di peringkat akar umbi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, sambutan luar biasa masyarakat terhadap program berkenaan memperlihatkan semangat kebersamaan yang kukuh dalam kalangan warga Pelangai.

“Saya lihat masyarakat Pelangai keluar beramai-ramai dan saya sangat terharu dengan kehadiran yang mencecah lebih 2,000 hingga 3,000 orang. Ini sesuatu yang luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan berkenaan di Pentas Utama, Dataran Pelangai, malam tadi.
Menurut beliau, penglibatan masyarakat dalam pelbagai program yang berlangsung sepanjang hari turut membuktikan wujudnya semangat kebersamaan yang erat dalam kalangan masyarakat di kawasan berkenaan.

“Ini antara yang luar biasa dan juga program-program bermula dari pagi sehingga malam tadi semuanya penglibatan yang luar biasa.
“Ini adalah keberhasilan di antara kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang dalam memimpin Kerajaan Negeri Pahang dan terus kepada akar umbi, iaitu masyarakat Pelangai yang membuktikan bahawa kita boleh bersama dalam setiap perjuangan yang kita hadapi pada hari ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh warga Pelangai dan Bentong yang memberikan komitmen serta sambutan menggalakkan terhadap penganjuran program berkenaan.
Dalam pada itu, sambutan tersebut juga menjadi bukti bahawa kerjasama antara kepimpinan, agensi kerajaan, rakan strategik dan masyarakat mampu merealisasikan penganjuran program berskala besar yang memberi ruang kepada rakyat untuk bersama-sama meraikan Hari Malaysia.

“Sebenarnya rakan-rakan banyak membantu untuk menjadikan realiti pada hari ini dan juga masyarakat pada hari ini juga memberikan satu komitmen yang baik kepada kita pada hari ini insyaAllah. Saya ucapkan tahniah.
“Saya yakin dan percaya rakyat Pelangai ternanti-nantikan lagi program selepas ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga Pelangai serta warga Bentong yang dapat bersama dalam Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Bentong pada kali ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

