Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
BENTONG, 20 SEPTEMBER 2026 : Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Bentong bukan sahaja menyatukan masyarakat Pelangai dalam semangat patriotisme, malah membawa rezeki tidak disangka kepada dua keluarga menerusi cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal dan PlayStation 5 (PS5).
Bagi Puan Nur Aishah Abdul Wahab, 41, kemenangan cabutan bertuah berupa PS5 menjadi detik paling bermakna apabila anaknya, Syed Aqil Rayyan Syed Zainal Rashid, 12, tidak dapat menahan kegembiraan sehingga menitiskan air mata ketika menerima hadiah berkenaan.
Menurut Nur Aishah, beliau pada awalnya tidak bercadang untuk hadir ke sambutan berkenaan, namun akhirnya mengikut pelawaan suaminya untuk bersama-sama memeriahkan program.
“Tak sangka, memang ikutkan hari ini memang tak nak datang. Tiba-tiba suami kata, jomlah, jom. Jadi datang juga, memang tak sangka akan dapat.
“Anak memang dah beria-ia nak PS5. Jadi saya anggap ini memang rezeki dia,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah cabutan bertuah pada sambutan berkenaan malam tadi.
Lebih menarik, nama Nur Aishah hanya diumumkan selepas beberapa pemenang terdahulu tidak tampil bagi menuntut hadiah masing-masing.
“Tiga kali panggil nama yang pertama tetapi tak naik, kemudian nama saya pula keluar. Orang kata rezeki tak salah alamat,” katanya.
Bagi Nur Aishah, penganjuran program sebegitu wajar diteruskan kerana bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menikmati pelbagai aktiviti, malah menjadi ruang mempertemukan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia.
“Saya rasa program seperti ini kena buat lagi sebab acara macam inilah yang boleh menyatukan rakyat Pelangai. Kita dapat jumpa orang tua, orang muda dan sama-sama menaikkan semangat patriotik serta semangat Merdeka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemenang cabutan bertuah, Renuga A/P Kalippan, 14, dari Kampung Mancis, Bentong, pula membawa pulang sebuah motosikal yang disifatkannya sebagai rezeki besar buat keluarganya.
Renuga berkata kemenangan itu amat menggembirakan kerana motosikal berkenaan bakal memudahkan urusan persekolahannya, khususnya ketika kenderaan sedia ada digunakan bapanya untuk bekerja.
“Ayah saya cakap kalau dapat menang motosikal malam ini, tak payah beli motosikal. Kalau ayah bekerja petang, saya nak ke sekolah jadi susah sedikit sebab hanya ada satu motosikal di rumah.
“Sekarang dah dapat motosikal, tak perlu beli motosikal lagi. Saya sangat seronok. Ini kira rezeki,” katanya.
Kisah kedua-dua pemenang itu menjadi antara momen bermakna dalam Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Bentong yang menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh kemeriahan dan kebersamaan.
Selain menjadi pengisian sambutan, cabutan bertuah berkenaan turut memberi makna tersendiri apabila hadiah yang dimenangi hadir pada masa yang tepat buat penerimanya, sekali gus menjadikan sambutan Hari Malaysia kali ini sebagai kenangan yang sukar dilupakan. -PAHANGMEDIA

