Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 19 SEPTEMBER 2026 : Bagaimana pertumbuhan ekonomi Pahang dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kehidupan lebih baik buat rakyat menjadi antara fokus utama menerusi program Borak Negeri: Poket Kita, Masa Depan Pahang yang berlangsung hari ini.
Forum berkenaan menampilkan Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib sebagai dua figura Pahang yang berkongsi pandangan mengenai landskap serta hala tuju ekonomi negeri.
Menerusi sesi Fireside Chat: “Aspirasi dan Masa Depan Ekonomi Pahang” yang dikendalikan Pengarah Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Azrinizam Ibrahim, kedua-dua tokoh berkenaan mengupas perkembangan ekonomi semasa, cabaran yang perlu ditangani serta potensi yang boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri.
Pendekatan “Poket Kita, Masa Depan Pahang” turut menjadikan perbincangan ekonomi lebih dekat dengan realiti kehidupan rakyat, khususnya berkaitan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, kos sara hidup dan kesejahteraan keluarga.
Pertumbuhan ekonomi tidak hanya perlu dilihat melalui angka pelaburan dan kadar pertumbuhan semata-mata, sebaliknya manfaat pembangunan perlu dirasai rakyat menerusi lebih banyak peluang ekonomi, pekerjaan berkualiti serta peningkatan taraf hidup.
Program anjuran Pejabat Timbalan Menteri Ekonomi, Kementerian Ekonomi itu turut memberi pendedahan kepada pemimpin masyarakat mengenai perkembangan ekonomi semasa serta agenda pembangunan negeri menuju 2030.
Forum berkenaan dilaksanakan secara bersiri melibatkan Zon Timur, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Barat serta dua zon khas, sekali gus membuka ruang kepada pemimpin masyarakat di seluruh Pahang untuk mendapatkan pemahaman lebih jelas mengenai isu, cabaran dan hala tuju ekonomi negeri.
Program pertama berlangsung hari ini di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Cempedak, manakala sesi seterusnya dijadualkan pada 27 September ini di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Temerloh. – PAHANGMEDIA

