Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
SHAH ALAM, 16 OGOS 2026 : Walaupun kontinjen Pahang masih belum memecahkan telur emas pada hari pertama saingan SUKMA XXII Selangor 2026, Kerajaan Negeri yakin sasaran 35 pingat emas mampu direalisasikan bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, perasaan berdebar dalam kalangan pengurusan kontinjen ketika ini merupakan sesuatu yang positif kerana ia menunjukkan kesungguhan mereka untuk membawa kejayaan kepada negeri.
Katanya, situasi berkenaan bukan perkara asing kerana beliau sendiri pernah merasai tekanan sama ketika mengetuai kontinjen Pahang pada temasya SUKMA di Sarawak dua tahun lalu.
“Jadi bila ada rasa itu, saya gembira walaupun tengok kawan-kawan berdebar, sebab mereka bersungguh-sungguh untuk memastikan Pahang mencapai sasaran. Dan kita doakan Pahang akan mula mendapatkan emas bermula esok (hari ini),”
“Acara ‘favourite’ kita bermula esok, jadi walaupun saya juga sebenarnya gementar, tapi saya yakin dengan usaha kita selama ini, dan saya nampak kesungguhan CDM (Ketua Kontinjen), kesungguhan yang luar biasa, keprihatinan yang kita harapkan untuk membawa kontinjen Pahang melangkah dengan penuh kejayaan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan SUKMA XXII Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.
Mengulas persiapan kontinjen, YB Dato’ Fadzli berkata Kerajaan Negeri telah berusaha memenuhi keperluan atlet, jurulatih dan pengurus sebagai persediaan menghadapi saingan temasya kali ini.
“Kita dah buat yang terbaik. Kerajaan Negeri cuba memenuhi segala keperluan atlet, jurulatih, dan juga pengurus. Sekarang masa untuk mereka buktikan kemampuan dan kesungguhan mereka, dan mereka memang diingatkan tanggungjawab dan amanah ini yang perlu dipikul sehabis baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyeru atlet Pahang supaya terus mengekalkan fokus dan tidak mudah berputus asa dalam memburu kejayaan.
“Saya dapat saksikan aksi taekwondo dan judo hari ini (semalam). Esok lebih banyak sukan yang akan saya kunjungi dan saya yakin atlet akan lakukan yang terbaik untuk Negeri Pahang.
“Yang penting, jangan sekali-kali putus asa, kerana dalam sukan ini, kesungguhan dan fokus yang akan menentukan kejayaan untuk atlet,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

