Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
PEKAN, 14 NOVEMBER 2026 : Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) anjuran Kerajaan Negeri Pahang bukan sahaja membantu pasangan kurang berkemampuan merealisasikan impian melangsungkan majlis perkahwinan, malah membolehkan mereka menjimatkan perbelanjaan untuk digunakan bagi keperluan selepas mendirikan rumah tangga.
Bagi pasangan Puan Noorhidayah Mansor, 26, dan Encik Muhammad Syahmi Mohamed, 28, peluang menyertai Majlis Perkahwinan Beramai-ramai Peringkat Parlimen Pekan itu merupakan satu kelegaan apabila mereka tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar bagi mengadakan kenduri perkahwinan.

Puan Noorhidayah berkata, penjimatan tersebut membolehkan wang yang pada asalnya diperuntukkan untuk majlis perkahwinan disimpan bagi membeli kelengkapan rumah tangga termasuk perabot serta membuat persiapan memasuki kediaman baharu.
“Untuk jimatkan kos dan setakat ini memang membantu. Jadi, lepas ini duit kahwin yang sepatutnya untuk kenduri boleh disimpan untuk benda lain, seperti beli perabot dan persiapan masuk rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program berkenaan di Dewan Utama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), di sini.
Suaminya, Encik Muhammad Syahmi yang berasal dari Melaka dan bekerja di Subang, Selangor, turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas penganjuran program yang disifatkan mampu meringankan beban kewangan pasangan, khususnya golongan B40.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana menganjurkan Anggun Suri untuk orang Pahang. Saya rasa program ini amat membantu golongan B40 yang mahu berkahwin tetapi tidak mempunyai wang mencukupi untuk mengadakan majlis,” katanya.
Sementara itu, pasangan Puan Rosma Jumain, 33, dan Encik Shazrizad Mustaza, 38, menyifatkan peluang menyertai program berkenaan sebagai rezeki yang amat bermakna apabila impian mengadakan majlis perkahwinan akhirnya menjadi kenyataan.
Puan Rosma yang berasal dari Kuantan berkata, kekangan kewangan sebelum ini menjadi antara halangan untuk mengadakan majlis perkahwinan seperti yang diimpikan.
Namun, katanya, bantuan yang disediakan menerusi Program Anggun Suri membolehkan mereka meraikan hari bahagia tanpa perlu menanggung beban perbelanjaan yang tinggi.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Menteri Besar Pahang kerana menganjurkan program seperti ini. Memang berbaloi dan sangat membantu.
“Kalau ikutkan kemampuan kami, mungkin tidak dapat mengadakan majlis seperti ini, tetapi alhamdulillah, syukur kerana impian untuk mengadakan majlis perkahwinan akhirnya tercapai,” katanya.
Program Anggun Suri merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu pasangan mendirikan rumah tangga dengan menyediakan kemudahan penganjuran majlis perkahwinan, sekali gus meringankan beban kewangan mereka dalam memulakan kehidupan berkeluarga. – PAHANGMEDIA

