Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
PEKAN, 14 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang kini hanya menerima tuntutan barangan menerusi inisiatif Permata Makmur bagi bayi kelahiran tahun 2025 dan 2026 susulan selesainya agihan kepada bayi yang dilahirkan pada tahun 2022, 2023 dan 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, ibu bapa yang mempunyai anak dalam kategori kelahiran berkenaan boleh membuat tuntutan di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Menurutnya, tuntutan juga boleh dibuat di reruai Rumah YB Ibu yang dibuka sempena penganjuran Karnival Aspirasi Pahang.
“Untuk makluman, sebelum ini kita turut membuka tuntutan kepada anak kelahiran 2022, 2023 dan 2024, namun ia tertakluk kepada stok yang masih ada.
“Bagaimanapun, agihan bagi kategori tersebut kini sudah selesai dan kita hanya menerima tuntutan bagi anak kelahiran 2025 dan 2026 sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Anggun Suri Majlis Perkahwinan Beramai-ramai Peringkat Parlimen Pekan di Dewan Utama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Pegawai Daerah Pekan, YH Tuan Azora @ Ahmad Shamsudin; Pengerusi Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Pekan (PERISDANITA), YH Dato’ Hajah Zalmah Abdul Rahman serta barisan pimpinan setempat.
Sementara itu, YB Dato’ Hajah Sabariah yang hadir mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Program Anggun Suri yang memasuki edisi ketiga terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pasangan pengantin.
Menurutnya, program berkenaan menyasarkan penyertaan 150 pasangan menerusi 15 penganjuran termasuk edisi khas melibatkan anggota tentera, namun terdapat beberapa pasangan yang menarik diri pada saat akhir.
“Alhamdulillah, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Kita faham semua perbelanjaan ditanggung Kerajaan Negeri dan sudah tentu inisiatif ini memberi kegembiraan kepada pasangan yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran Program Anggun Suri bagi tahun ini hampir melabuhkan tirai dengan Parlimen Rompin dijangka menjadi lokasi terakhir pada bulan ini.
Mengulas mengenai kemungkinan program berkenaan diteruskan pada tahun hadapan, beliau berharap inisiatif itu dapat dikekalkan sekiranya terus mendapat sokongan masyarakat, khususnya suri rumah dan pasangan yang ingin menyertainya.
Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan mengenai penerusan program berkenaan tertakluk kepada pengumuman YAB Menteri Besar Pahang kelak. – PAHANGMEDIA

