Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 16 OGOS 2026: Upacara Perasmian Pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 berlangsung meriah malam tadi di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, selepas 28 tahun temasya berkenaan kembali ke Selangor.
Upacara pembukaan dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang turut diiringi YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin bin Shari dan Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Manakala Kerajaan Pahang pula diwakili Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal.
Perarakan Kontinjen Pahang diketuai Ketua Kontinjen SUKMA Pahang, YB Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin dan Ketua Kontinjen Para SUKMA Pahang, Encik Zamzuriadi bin Shamsuddin, bersama Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar serta 46 atlet dan urusetia Kontinjen Pahang.

Atlet Judo Pahang yang juga penyumbang pingat gangsa pertama negeri, Mohamad Hafiy Iskandar Hendre bertindak sebagai pembawa bendera Negeri Pahang manakala dua atlet Bola Tampar Pahang, Eunice Lim Tian Ye dan Pang Jia Qi berperanan membawa plakad negeri.
Buat pertama kalinya, majlis perasmian SUKMA XXII Selangor 2026 diraikan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, sekali gus membawa semangat SUKMA keluar daripada format stadium yang lazim digunakan dan mendekatkannya dengan masyarakat.
Pemilihan lokasi berkenaan menjadikan bandar sebagai pentas, ruang awam sebagai tempat pertemuan dan rakyat sebagai sebahagian daripada pengalaman bersejarah temasya, selain memanfaatkan infrastruktur bandar sedia ada.

Majlis pembukaan dimulakan dengan persembahan tarian kebudayaan dan persembahan artis terkemuka negara, antaranya Azlan & The Typewriters dan Balan Kash yang menyampaikan lagu rasmi SUKMA Selangor 2026, Rentak Kita Aksi Kita, selain Jaclyn Victor, Nadeera Zaini, Caliph Buskers dan Ayai Ilusi.
Konsep persembahan disusun menerusi enam babak yang membentuk satu naratif berterusan, bermula dengan ‘Kepulangan’ yang menceritakan kembalinya SUKMA ke Selangor selepas 28 tahun.
Ia diteruskan dengan ‘Sembilan Nadi’ yang meraikan kepelbagaian sembilan daerah, komuniti, golongan belia, keluarga dan usahawan sebagai nadi kemajuan negeri, diikuti ‘Keberanian Tanpa Batas’ yang mengangkat semangat atlet Para SUKMA.
Babak keempat, ‘Bayangan Masa Hadapan’, mengetengahkan harapan terhadap belia, inovasi, pendidikan dan peluang, manakala ‘Perarakan Juara’ meraikan kontinjen-kontinjen bertanding dalam semangat kebersamaan dan kesukanan.
Persembahan mencapai kemuncak menerusi ‘Nyalaan Generasi’, sebagai simbolik bermulanya SUKMA XXII Selangor 2026 secara rasmi, dengan atlet menjadi watak utama dalam keseluruhan penceritaan majlis.
Penganjuran ini turut membawa mesej ‘Satu majlis, dua temasya, satu legasi’, apabila SUKMA diraikan sebagai kebanggaan negeri, manakala Para SUKMA mengangkat nilai keberanian, keterangkuman dan kecemerlangan insan, sekali gus menjadikan atlet sebagai fokus utama dalam mencipta pengalaman yang bermakna kepada rakyat.-PAHANGMEDIA

