Oleh : Syafiqah Jamaluddin
SELANGOR, 16 OGOS 2026 : Pahang mara bergaya ke separuh akhir acara bola sepak wanita Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 selepas membelasah Pulau Pinang 12-0 dalam aksi peringkat kumpulan, semalam.
Ketua Jurulatih Bola Sepak Wanita Pahang, Mohd Zerry Nazeri, berkata kemenangan besar itu hadir hasil beberapa perubahan strategi yang dilakukan selepas pihaknya meneliti dan membuat semakan terhadap aksi terdahulu.

Menurutnya, Pahang yang bermula agak perlahan dalam perlawanan pertama berjaya memperbaiki kelemahan berkenaan sebelum menunjukkan peningkatan dari segi momentum dalam aksi seterusnya.
“Kita ada tukar beberapa pemain setelah kita kenal pasti kelemahan dan kita buat semakan semula daripada perlawanan pertama.
“Perlawanan pertama kita agak bermula perlahan, jadi kita cuba buat pembetulan pada perlawanan kedua dan kita dapat momentum serta menghasilkan beberapa jaringan.
“Dalam perlawanan ketiga, kita nampak momentum itu lagi dan kita nak kekalkan momentum tersebut sehingga separuh akhir yang akan berlangsung di sini juga,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kemenangan 12-0 memberikan suntikan keyakinan kepada pasukan, pemain tidak boleh mengambil mudah cabaran di peringkat separuh akhir.
“Kita kena kerja kuat lagi di separuh akhir. Kita tak boleh main-main dan tak boleh ketinggalan setiap bola yang datang. Kita kena selesaikan dengan cubaan yang baik ke arah gol,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata keserasian antara pemain turut menjadi antara kekuatan utama Pahang selepas pasukan dibentuk dan dipersiapkan sejak hampir dua tahun lalu.
Katanya, gabungan pemain lama dan baharu dilakukan secara berperingkat bagi memastikan mereka mempunyai kefahaman yang baik ketika beraksi.
“Rata-rata pemain ini sebenarnya saya sudah bentuk hampir dua tahun dan ada juga pemain yang bermain dengan kelab luar yang kita masih memerhatikan tahap kecergasan mereka.
“Kita ambil pemain lama dengan pemain baharu dan kita gabungkan kefahaman mereka. Itu satu kelebihan bagi saya kerana rata-rata pemain ini pernah saya bawa sebelum ini.
“Kerja ini bukan mudah dan dengan staf kejurulatihan yang ada, saya percaya kerjasama antara satu sama lain itu yang menjadikan pasukan kita lebih kuat untuk menghadapi pihak lawan yang akan datang,” katanya.
Pahang kini perlu mengekalkan momentum dan fokus bagi memastikan impian mara ke pentas final serta memburu pingat dalam saingan bola sepak wanita SUKMA XXII Selangor 2026 dapat direalisasikan. -PAHANGMEDIA.

